Sultan Selangor tarik darjah kebesaran Najib, Rosmah



PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran daripada Najib Razak dan Rosmah Mansor.

Dalam kenyataan, Setiausaha Kerajaan Selangor Haris Kasim berkata penarikan balik itu berkuat kuasa 12 Sept selaras kuasa prerogatif baginda bawah Perkara XXXVII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi diamalkan di negeri itu.

Selain Najib dan Rosmah, turut ditarik balik darjah kebesaran adalah bekas ketua setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Mohd Arif Ab Rahman.

Haris yang juga pendaftar darjah kebesaran negeri Selangor berkata, keputusan itu dibuat selepas baginda mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang, dan berunding dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.


Katanya, Najib telah dikurniakan keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada 1992.

“Beliau telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang S.P.M.S Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan D.P.M.S Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 Sept 2022,” katanya.

Haris berkata, Rosmah pula dikurniakan keahlian S.P.M.S Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.


Katanya, Rosmah telah didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

“Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang S.P.M.S Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 Sept 2022,” katanya.

Manakala, Arif telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ pada 2005, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga pada 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat pada 2001.

“Beliau telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah. Pada 23 Jan 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang D.S.I.S Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, S.I.S Kelas Ketiga dan A.M.S Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 Sept 2022,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram