Rundingan ‘sendiri-sendiri’ antara UMNO-PaAS tidak sah – PM



KUALA LUMPUR – Rundingan antara UMNO dan Pas perlu dilakukan secara rasmi serta melibatkan keputusan parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rundingan yang didakwa berlaku antara kedua-dua parti itu berkemungkinan pertemuan tidak rasmi.

“Rundingan mestilah secara terang dan walau sesiapa yang berunding, (keputusan) perlu diputuskan oleh parti. Apa-apa rundingan mesti dilaksanakan secara rasmi.


“Saya tak tahu sama ada berlaku rundingan tetapi mungkin ada perbincangan. Kita tak boleh nak sekat sesiapa (kerana) siapa pun boleh bertemu rakan-rakan di kalangan Pas untuk jumpa dan berbincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini hari ini.

Ismai Sabri berkata, rundingan hanya menjadi sah dan dasar (parti) sekiranya diputuskan oleh parti.

“Parti mesti memutuskan siapa wakil parti yang sah untuk berunding, kalau pergi sendiri-sendiri itu tidak boleh dianggap sebagai mewakili parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata, rundingan dengan Pas terhadap 27 kerusi Parlimen yang disifatkan kritikal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan satu cadangan yang perlu diberi pertimbangan.


“Mungkin Pakatan Harapan (PH) akan mendapat kelebihan apabila berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas sebagai contoh.

“Bagaimanapun, ini satu cadangan dan saya rasa ia boleh diberikan pertimbangan kerana mengapa kita mahu beri kemenangan percuma kepada mereka (pembangkang)?” ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempertahankan kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu ketika ini sedang mengadakan perbincangan bersama beberapa pemimpin UMNO mengenai strategi untuk mendepani PRU-15. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram