Tinggalkan Bersatu jika nak kerjasama UMNO-PAS – Isham



PETALING JAYA: Pemimpin Umno memberitahu PAS supaya meninggalkan Muhyiddin Yassin dan Bersatu jika PAS mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil menegaskan partinya tidak berganjak daripada keputusan perhimpunan agung Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15, yang disifatkan sebagai “pengkhianat”.

Isham berkata Muhyiddin dan Bersatu juga perlu menerima hakikat bahawa akar umbi PAS mahu bekerjasama dengan Umno.

“Penyatuan ummah tidak bermaksud penyatuan dengan pengkhianat” katanya di Facebook.


Beliau juga menyerang Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, kerana mengekalkan keinginan mereka untuk bekerjasama dengan Umno dan Bersatu serta menolak ini sebagai angan-angan.

“Haji Hadi atau Tuan Ibrahim sila jawab: Berapa kerusi yang PAS ingin minta dari Umno? dan berapa kerusi pula yang PAS ingin Umno beri kepada pengkhianat Bersatu?”

“Apabila kerusi-kerusi yang Umno beri kepada PAS dan Bersatu ini menang dengan sokongan akar umbi Umno, apa jaminan yang kami dapat yang kamu (PAS dan Bersatu) akan kekal menyokong kami dan tidak menukar pendirian seperti sebelum ini?

“Akar umbi Umno lebih bijak dan kami tidak akan dibiar ditipu oleh kamu.”


Isham mempertahankan bahawa PAS tidak boleh makan keliling sementara Umno tidak akan bekerjasama dengan parti-parti yang tidak mempunyai prinsip dan kerap berubah fikiran.

“Kami telah buat ketetapan untuk pergi solo, terimalah hakikat ini,” kata beliau.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mendedahkan ‘rundingan gelap’ Muafakat Nasional (MN) antara partinya dan pemimpin tertentu Umno menyentuh keperluan satu lawan satu di antara mereka dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin semalam berkata beliau akan menuntut penjelasan pucuk pimpinan tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi Awang dan Takiyuddin Hassan berhubung “rundingan gelap” dengan Umno dalam mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan itu malam tadi. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram