Nur Jazlan cabar Hadi, Takiyuddin dedah nama pemimpin UMNO runding dengan PAS



KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dicabar untuk mendedahkan nama pemimpin UMNO yang didakwa terlibat dengan rundingan dengan Pas tanpa pengetahuan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jika pendedahan Presiden Pas itu cerita betul, Abdul Hadi perlu memberikan fakta dan bukan hanya dakwaan sahaja.

”Siapakah pemimpin UMNO yang mereka runding itu? Takkanlah setakat level ketua cawangan saja yang boleh mempengaruhi kepimpinan UMNO. Nampak sangat Hadi reka cerita untuk cari modal dan publisiti PRU15.

”Jadi saya nak pesan kepada Hadi janganlah reka-reka cerita dan buat fitnah kepada pemimpin UMNO. Buat apa nak adakan cerita palsu semata-mata nak raih keuntungan politik,” katanya dalam kenyataan di sini.


Beliau turut menempelak Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya jangan jadi pengecut untuk mendedahkan identiti pemimpin UMNO itu, jika betul.

Nur Jazlan berkata, walaupun ahli-ahli UMNO sudah tahu beberapa nama pemimpin ‘berpengaruh’ UMNO itu tetapi mereka tidak berjawatan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MT) kerana ahli MT keseluruhannya setuju dengan keputusan tolak MN ini semasa Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Luar Biasa UMNO.

Malah hampir semua juga hadir sewaktu majlis taklimat Presiden dua minggu lepas.

Nur Jazlan mengakui beliau terkejut bagaimana rundingan besar seumpama itu tak melibatkan orang nombor satu dalam UMNO dan dan lebih hairan lagi bagaimana ia dibuat di luar pengetahuan parti.

”Saya sebagai salah seorang Ketua Bahagian dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor pun tak dapat maklumat atau dimaklumkan oleh parti mengenai adanya rundingan berkaitan Muafakat Nasional (MN) dengan Pas.


“Saya percaya majoriti pemimpin dan ahli akar umbi UMNO pun tak ada info pasal rundingan ini kerana kami semua tetap berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) serta ketetapan parti untuk memutuskan kerjasama dalam PN.

”Itu keputusan parti dan bukannya keputusan Zahid seorang seperti didakwa Hadi. Semua orang tahu,” tegas beliau.

Menurut Nur Jazlan, pintu MN sudah tertutp dan UMNO juga sudah move on untuk bergerak solo pada PRU15 nanti.

Beliau turut menempelak Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya jangan terus jadi peguam yang loyar buruk dan pengecut untuk mendedahkan identiti pemimpin UMNO itu, jika betul.

“Kamu pernah jadi penyedia draf Perjanjian Politik Sulit sebelum ini dan kamu hanya mengaku bila nama kamu dipetik, sampai Hadi sendiri pun kamu tipu,” katanya.


Mengulas dakwaan Abdul Hadi bahawa kenyataan Ahmad Zahid penamatan kerjasama MN bukan pendirian parti tapi hanya cakap Presiden UMNO, Nur Jazlan menegaskan: “Dalam UMNO apa yang dicakapkan oleh presiden itu adalah kata rasmi parti yang bersandarkan kepada keputusan MKT ataupun suara akar umbi.

”Jadi boleh Presiden UMNO kata tiada lagi MN, maknanya dia bercakap berasaskan kepada keputusan parti yang dibuat secara demokrasi.

“Akar umbi UMNO sudah tiga kali naik turun KL untuk meluluskan AGM dan EGM pasal tolak PAS ini,” hujah beliau lagi. – MG

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram