Kami akan patuh titah Agong tubuh kerajaan perpaduan, kata pemimpin GPS



PETALING JAYA: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Joseph Salang Gandum berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menuruti cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau dipetik The Borneo Post menegaskan Ahli Parlimen PRS akan mengikut keputusan GPS.

“GPS sebagai satu kumpulan mengambil maklum hasrat Agong untuk bentuk kerajaan perpaduan. Jika kerajaan perpaduan yang Agong mahukan, saya rasa kita patut turutinya,” kata Salang.


Ditanya sama ada GPS sedia menyokong Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, beliau menepis soalan itu dengan berkata, beliau tidak bercakap mengenai siapa yang akan memegang jawatan tertinggi itu.

“Kita bercakap tentang ‘titah’ (perintah diraja) untuk kerajaan perpaduan. Jadi, kita serahkan kepada pemimpin tertinggi untuk menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri.”

Salang menjawab dakwaan Ahli Parlimen PRS menarik sokongan mereka kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Pemimpin GPS yang diketuai Fadillah Yusof, naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, menghadap Agong di Istana Negara pagi tadi.


Sebelum ini, GPS pernah menyuarakan hasrat membentuk kerajaan bersama PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah. Tetapi, gabungan Sarawak itu semalam berkata, terpulang kepada Agong untuk memutuskan apa yang terbaik buat rakyat.

Ini menyusul selepas BN mengumumkan ia tidak akan menyokong PN atau PH untuk membentuk kerajaan baharu serta kekal sebagai pembangkang.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, Agong menitahkan PN dan PH bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan, tetapi gabungan itu bertegas tidak akan bekerjasama dengan PH. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram