Silap, ketua hakim negara tak boleh letak bawah Parlimen, kata GTA



PETALING JAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) mengeluarkan ikrar yang meletakkan jawatan ketua hakim negara di bawah bidang kuasa Parlimen daripada manifesto pilihan raya umumnya kerana ia “kesilapan” dalam bahan diterbitkan.

Ketua Publisiti GTA, Nizam Mahshar memohon maaf atas kekeliruan itu terhadap bidang kehakiman disebabkan kesilapan dalam pengumumannya semalam.

“Kami memohon maaf atas kesilapan dalam maklumat grafik sebelum ini yang menunjukkan jawatan ketua hakim negara diletakkan bawah penelitian Parlimen,” katanya dalam kenyataan tanpa menjelaskannya secara spesifik.


Nizam, yang juga calon Pejuang di Parlimen Jerai, berkata dokumen manifesto GTA versi penuh dan lengkap akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Pendirian kami kekal. Kami pengikut teguh terhadap doktrin pengasingan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman, dan ini perlu diperkukuhkan.”

Terdahulu, hakim bersara Gopal Sri Ram berkata, sebarang langkah memberi kuasa kepada Parlimen bagi melantik ketua hakim negara atau meletakkan jawatan itu di bawah badan perundangan, tidak selamat kerana ia akan menjejaskan doktrin pengasingan kuasa.

Katanya, ketua hakim negara, termasuk hakim mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) berperanan sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi di negara ini.


Katanya, hakim mahkamah atasan berperanan sebagai semak dan imbang terhadap badan perundangan serta eksekutif kerajaan.

Semalam, GTA pimpinan Pejuang mengumumkan manifesto PRU15 gabungan itu, yang termasuk meletakkan sembilan pegawai tertinggi kerajaan di bawah bidang kuasa Parlimen, jika ia menang pada 19 Nov ini.

Sembilan pegawai tertinggi itu ialah peguam negara, ketua polis negara, ketua hakim negara, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, panglima angkatan tentera, ketua setiausaha negara, ketua setiausaha perbendaharaan, ketua audit negara dan gabenor Bank Negara.

Pengerusi GTA, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, ini perlu untuk membebaskan negara daripada rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa. – FMT


 

Join our Telegram Channel
Telegram