Pejuang bakal lenyap dengan pengunduran Mahathir, kata penganalisis



PETALING JAYA: Dua penganalisis meramalkan Pejuang akan lenyap susulan peletakan jawatan pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu FMT, mereka tidak dapat melihat masa depan parti itu di bawah presidennya, Mukhriz Mahathir, yang merupakan anak bekas pengerusi.

Oh berkata, Mukhriz tidak mampu untuk membawa parti itu jauh ke hadapan.

“Mukhriz sentiasa kelihatan tidak bersemangat dalam karier politiknya,” katanya sambil menambah beliau tidak mengingati bekas Ahli Parlimen Jerlun itu mengambil sebarang tindakan politik “di sebalik peletakan jawatannya sebagai menteri besar Kedah sebanyak dua kali”.


Mukhriz meletak jawatan sebagai menteri besar Kedah selepas kehilangan sokongan majoriti ADUN partinya berikutan krisis politik selama dua minggu pada 2016. Pada 2020, beliau sekali lagi kehilangan sokongan kebanyakan ADUN dan terpaksa melepaskan jawatan itu.

Oh menambah Pejuang sentiasa menjadi parti yang berpaksikan Mahathir. “Tanpa Mahathir, nampaknya parti itu akan semakin dilupakan.”

Mahathir mengasaskan Pejuang pada 2020 selepas keluar daripada Bersatu. Beliau meletakkan jawatan pengerusi minggu lalu tetapi kekal sebagai ahli parti biasa dan sebagai pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan tidak kukuh yang melibatkan kumpulan berasaskan Melayu termasuk Pejuang, NGO, ahli akademik dan profesional. Gabungan itu ditubuhkan beberapa bulan sebelum pilihan raya umum baru-baru ini.

Seorang lagi pemimpin Pejuang, Khairuddin Abu Hassan, meletak jawatan sebagai ketua Wilayah Persekutuan dan ahli exco pusat parti, sambil berkata beliau telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan presiden parti.

Azmil berkata, beliau tidak menyangka Mukhriz akan mengetuai “parti nazak” walaupun kekalahan besar dalam PRU15.


Mukhriz cuba mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun tetapi tewas kepada Abdul Ghani Ahmad dari Perikatan Nasional (PN), yang menang dengan majoriti 20,456 dalam pertembungan empat penjuru. Mukhriz hanya mendapat 3,144 undi.

Mahathir dan Mukhriz adalah antara 369 calon parti yang bukan sahaja kalah tetapi turut hilang deposit selepas menerima kurang daripada satu perlapan undi.

Azmil melihat Pejuang tewas dalam pertarungan politik dengan kumpulan besar parti seperti Umno, Bersatu dan PAS yang bersaing untuk mendapatkan undi Melayu.

Beliau berkata, masa depan Pejuang dalam politik Malaysia berdepan kesukaran kerana berkemungkinan ramai pemimpinnya meninggalkan parti itu untuk menyertai PN dan Barisan Nasional. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram