Pejuang ‘dengan penuh tawaduk’ terima keputusan Dr Mahathir undur pengerusi



Pejuang mengesahkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah meletak jawatan sebagai pengerusi.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata pihaknya "dengan penuh tawaduk" menerima keputusan Dr Mahathir Mohamad untuk berundur daripada jawatan pengerusi parti itu.

"Seluruh anggota majlis eksekutif pusat dan ahli parti serata negara menyanjung tinggi, jasa, pemikiran, tunjuk ajar dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan pengerusi.

"Penghargaan yang tidak terhingga kami ucapkan kepada ayahanda Tun. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas jasa beliau kepada kami," katanya pada satu kenyataan hari ini.


Mukhriz berkata perjuangan, legasi dan semangat Dr Mahathir akan diteruskan parti itu.

"Pejuang berusaha memastikan daya pemikiran, cara kepimpinan dan tumpuan kepada keberhasilan Tun yang berteraskan prinsip dan nilai budaya yang murni diteladani oleh generasi pewaris perjuangan beliau.

"Walaupun telah berundur sebagai pengerusi, Tun kekal sebagai ahli Pejuang," kata Mukhriz yang juga anak bongsu Mahathir.

Kenyataan Pejuang itu dibuat selepas laporan semalam mengenai peletakan jawatan bekas perdana menteri itu daripada parti berteraskan Melayu itu.

Pejuang meletakkan 67 calon untuk kerusi parlimen pada PRU15 dan semuanya hilang deposit.


Antara gergasi politik yang tewas ialah Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz. Hanya empat tahun lalu, mereka masing-masing menjadi perdana menteri dan menteri besar Kedah.

Bekas perdana menteri itu mengalami kekalahan teruk di Langkawi apabila dia menduduki tangga keempat dalam pertarungan lima penjuru.

Mukhriz mengalami nasib yang sama, tewas di parlimen Jerlun yang diwakilinya sejak 2018, selepas PN merampas kerusi itu pada hari pengundian 19 Nov dengan majoriti 20,456 undi.

Sesetengah penganalisis beranggapan kehadiran Pejuang dalam landskap politik negara sebagai tidak relevan dengan kebangkitan PN yang kini dilihat sebagai pembawa suara politik Melayu-Islam, terutamanya di pantai timur Semenanjung dan utara.

PN - yang menang 74 kerusi keseluruhan - menunjukkan kekuatannya dalam pilihan raya baru-baru ini pada saat sokongan orang Melayu merosot kepada Umno dan BN. Ia juga menunjukkan peralihan sokongan pengundi terhadap PAS dan Bersatu. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram