Khairuddin keluar parti Pejuang, bergaduh dengan Muhkriz



KUALA LUMPUR: Selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan pada Disember tahun lalu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan keluar daripada parti itu. 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, hal itu berikutan pelbagai masalah yang berlaku antara beliau dengan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengenai corak kepemimpinannya. 

Bekas calon pilihan raya Parlimen Titiwangsa itu berkata, ia didorong dengan sikap Mukhriz yang tidak menjelaskan secara jujur mengenai isu peletakan jawatan ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pejuang. 

“Sikap Mukhriz dan Majlis Pimpinan Pejuang Kedah yang membuat pelbagai tekanan serta gerakan menolak Tun Mahathir daripada terus mempengerusi parti membuatkan beliau kecil hati dengan tindakan biadap dan kurang ajar mereka selepas pilihan raya lalu. 


“Selepas tewas di semua kerusi yang dipertanding, generasi muda yang ‘pro Mukhriz’ nampak seolah-olah menyalahkan Tun Mahathir yang membuat keputusan bertanding di 125 kerusi Parlimen. 

“Mereka ini semuanya seperti menuding jari pada beliau atas keputusan yang dianggap mereka sebagai terlalu bercita-cita, walhal, ia adalah keputusan dibuat dan dipersetujui oleh Majlis Eksekutif Pusat,” katanya dalam kenyataan. 

Kata Khairuddin, cadangan Mukhriz supaya Pejuang mempertimbang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan Tun Mahathir kecewa selain bekas Ketua Pejuang Muda juga menyatakan bahawa Pejuang harus bersama PH untuk menarik undi Melayu. 

“Niat mereka adalah untuk meneutralkan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP dalam PH. Ini tidak boleh diterima akal yang waras untuk jadikan Pejuang ‘pencacai’ membawa sokongan orang Melayu untuk PH,” katanya. 


Berkenaan keputusan Pejuang berundur daripada Gerakan Tanah Air (GTA), katanya, Mukhriz dan ‘pasukannya’ membuat gerakan bagi menolak gabungan itu sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. 

“Tun Mahathir bersungguh-sungguh mahukan GTA kerana beliau mempunyai agenda ke arah penyatuan Melayu dan Mukhriz harus memberi ‘muka’ serta berkompromi demi agenda mulia bapanya. Tidak tahu mengapa beliau terlalu rigid dan menolak GTA, malah sejak awal penubuhannya lagi. 

“Kalau tidak mahu bersama GTA, pertahankanlah pendirian dalam mesyuarat majlis eksekutif untuk menolak GTA secara tegas. Masalahnya, mereka mengangguk kepala bersetuju dalam mesyuarat di hadapan Tun Mahathir, tetapi mengambil pendekatan tikam belakang,” katanya. 

Dalam pada itu, kata Khairuddin, beliau hanya mendukung wadah perjuangan Tun Mahathir kerana beliau tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan bagi menegakkan kebenaran demi bangsa, agama dan negara. 


“Mukhriz bukan seorang pemimpin politik berwibawa tetapi hanya personaliti yang sedang diacu menjadi pemimpin. Saya tidak hairan mengapa beliau ditolak sebagai Menteri Besar Kedah dua kali. 

“Kepimpinan beliau dibanding Tun Mahathir bagai langit dengan bumi,” katanya. 

Dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua semalam, Mukhriz mengumumkan keputusan keluar daripada GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan. 

Pada 20 Disember tahun lalu, Khairuddin meletakkan jawatan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan kerana telah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Mukhriz selain perjuangannya semata-mata berteraskan sokongan kepada Tun Mahathir.  – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram