Agih wang tunai kepada pengundi PRU15 adalah sedekah – Hadi



Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dengan mendakwa ia adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

The Malaysian Insight (TMI) memetik Ahli Parlimen Marang itu sebagai berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

"Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Gelombang Rakyat bersama Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, hari ini.


Abdul Hadi juga menyifatkan petisyen yang difailkan BN untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi tiga kerusi Parlimen Terengganu sebagai "perang saraf".

Pada 3 Jan lepas, Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.

Petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu adalah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata petisyen itu membangkitkan dakwaan PAS telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 Nov 2022, yang hanya beberapa hari sebelum PRU15.


Dia berkata Umno Terengganu berharap pengundian dapat diadakan semula di ketiga-tiga kawasan itu, dengan memetik PRK Cameron Highlands pada 2018 sebagai contoh.

Pada PRU15 baru-baru ini, Ahmad tewas di kerusi Parlimen Kemaman kepada calon PAS Che Alias Hamid, yang menang dengan majoriti 27,179 undi.

Dengan majoriti 41,729 undi di Marang, Abdul Hadi Awang mengekalkan kemenangannya ke atas tiga pesaing.

Calon PAS Amzad Hashim pula menewaskan tiga calon lain dengan kelebihan 40,907 undi, mengekalkan kerusinya di Kuala Terengganu. – Mkini


 

Join our Telegram Channel
Telegram