PAS sedekah tak kira musim – Hadi



Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini sekali lagi menekankan bahawa amalan "bersedekah" yang dilakukan oleh PAS itu bukanlah sesuatu yang aneh, malah ia dilaksanakan secara tidak bermusim.

Kerana dididik dengan amalan itu, katanya, ada ahli PAS - termasuk dalam kalangan wakil rakyat PAS - menanggung hutang yang banyak ekoran berkhidmat mereka kepada masyarakat tanpa memilih siapa.

Dalam kalangan mereka itu, tambah ahli parlimen Marang berkenaan, ada yang hanya berjaya melangsaikan hutang masing-masing selepas bersara.


“Itu adalah bukti khidmat wakil rakyat PAS sepanjang masa dan kepada semua, bukan hanya pada musim pilihan raya umum, pusat, negeri dan pilihan raya kecil semata-mata.

“Kini, selepas ramainya ahli PAS daripada pelbagai lapangan dan kebolehan, usaha-usaha ini diatur secara sistematik dalam lapangan yang lebih luas,” katanya melalui Minda Presiden PAS di Facebook hari ini.

Terdahulu tular klip video menunjukkan ada individu - yang dikaitkan dengan pemimpin akar umbi - mengagihkan wang kepada pengundi yang bersumpah atas nama Allah mereka memangkah PAS dalam pilihan raya baru-baru ini.

Ketika pengkritik menganggap tindakan tersebut sebagai amalan rasuah, Abdul Hadi tampil mempertahankan pengagihan wang tersebut dan menganggap ia tidak melanggar peraturan pilihan raya kerana tidak membabitkan calon atau wakil calon.


Ada mencuri subsidi


Bekas duta khas bertaraf menteri itu juga menganggap tindakan tersebut sebagai suatu sedekah.

"Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah, terpulang kepada dia,” katanya pada 21 Jan lalu.

Isu berkenaan semakin panas dan meluas apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan akaun Bersatu dibekukan agensi itu sejak beberapa minggu lalu bagi membantu siasatan mereka.

Bersatu dan PAS merupakan antara parti komponen Perikatan Nasional yang kini menjadi pembangkang.


Kata Abdul Hadi, PAS telah bersedekah melalui pelbagai platform dan tidak hanya terhad dalam bentuk wang, bahkan turut membabitkan perkhidmatan yang diberikan oleh jentera dan wakil rakyat parti itu.

Dia turut berkongsi kisah liku-liku cabaran yang dihadapi oleh penyokong PAS ketika membantu pelbagai pihak termasuk mangsa banjir di kawasan kubu parti kerajaan.

Menurutnya, pengorbanan PAS tanpa mengharapkan upah itu dapat dilihat oleh parti lain yang bekerjasama dengan mereka.

Berdepan pelbagai cabaran termasuk dicaci, Abdul Hadi berkata, berkata tetap cekal meneruskan khidmat dan 'bersedekah' kepada rakyat, sebaliknya pihak lawan didakwanya "mencuri" pula.


“Akan tetapi, mereka itu dalam keadaan tidak mempunyai rasa malu, ada daripada kalangan ahli parti mereka yang mencuri subsidi untuk rakyat dan barangan bantuan kepada mangsa, ketika (mereka sepatutnya) wajib mengorbankan diri dan tenaga kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Tambah Abdul Hadi, tuduhan pihak lawan ke atas PAS yang mendakwa parti itu merasuah pengundi semasa pilihan raya adalah "terlalu kecil" berbanding sumbangan yang diberikan kepada orang ramai sebelum ini.

Dia turut mendakwa pihak lawan hanya menghulurkan bantuan secara bermusim, serta tidak ikhlas kerana mengharapkan keuntungan politik.

"Laksana ayam yang bertelur sebiji, namun berkokok riuh sekampung,” katanya tanpa menyebut secara terperinci parti yang dimaksudkan itu. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram