SPRM siasat kenyataan Hadi agih wang tunai #PRU15 sedekah



SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku pembelian undi atau perbuatan rasuah ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi aduan dan bahan bukti berupa rakaman video yang berlaku di sebuah daerah di Terengganu, SPRM telah melakukan siasatan ekoran dakwaan pemberian wang tunai kepada pengundi sebagai 'umpan undi'.

Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, menjadi satu kesalahan untuk memberi sebarang bantuan kewangan sepanjang kempen pilihan raya kerana ia boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk rasuah.


Tegas beliau, meskipun ada parti politik menyatakan bantuan kewangan yang diberikan kepada orang ramai adalah berupa sedekah, namun pemberian tersebut tetap satu unsur rasuah seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Ya benar ada pihak menyatakan ia sebagai satu sedekah kepada orang ramai, namun tetap (menjadi) satu bentuk kesalahan iaitu memberi rasuah berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Oleh yang demikian, SPRM telah bertindak membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut setelah menerima aduan semasa dan selepas pilihan raya.

"Proses siasatan juga dilakukan bagi apa jua kes yang dirujuk kepada kami di SPRM," katanya pada Selasa.


Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkenaan petisyen difailkan UMNO Terengganu, bagi membatalkan keputusan PRU15 di tiga kawasan Parlimen di negeri Pantai Timur itu.

Abdul Hadi berkata, mereka yang dirakam dalam video menyerahkan wang tunai kepada pengundi hanyalah melakukan kerja amal.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, undang-undang pilihan raya menetapkan hanya calon dan ejen mereka dilarang memberi wang tunai.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula menegaskan, pemberian duit semasa kempen pilihan raya adalah bergantung kepada niat dan tujuan seseorang itu.


Kata Hamzah, tidak sepatutnya memfokuskan kepada pemberian, namun punca duit itu diberikan.

Mengulas lanjut Azam berkata, apa sahaja bentuk pemberian yang dihulurkan dengan tujuan memperoleh balasan walaupun tanpa menyatakan sebarang tujuan secara khusus, tindakan itu tetap menjurus kepada perbuatan berunsur rasuah.

Beliau berkata, meskipun pelbagai alasan diberikan menyatakan pemberian itu bersifat sedekah atau sumbangan, namun perbuatan memberikan wang pada masa berkempen adalah tidak kena pada tempat dan tempoh masa.

Tambah beliau, perkara tersebut jelas bertentangan dengan akta yang ada, meskipun pelbagai istilah boleh diguna pakai oleh orang ramai bagi menutup perbuatan berupa 'suapan' kepada pengundi. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram