Dua ketua cawangan PAS dipanggil SPRM – Sumber



PETALING JAYA: Lebih lima keterangan membabitkan ketua cawangan di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan berhubung pemberian duit undi di Terengganu.

Ia didakwa bagi ‘memastikan’ pengundi mengundi sebuah parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, keterangan sebahagian daripada kira-kira 90 pengundi juga diperoleh bagi membantu siasatan.

Sumber itu berkata, sebahagian besar penerima wang merupakan pelajar dan anak tempatan yang bekerja di luar negeri itu.


“Ada mereka yang dikenal pasti berada di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah serta Pahang,” katanya di sini semalam.

Kata sumber, kesemua pe­nerima wang berkenaan disyaki ditawarkan amaun RM30 sehingga RM150 secara rawak.

Jelas beliau, ada sebahagian mereka dihubungi oleh parti politik berkenaan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menelefon penerima berkenaan dengan memperoleh maklumat daripada keluarga yang juga ahli parti politik itu.

“Jentera parti akan keluar mencari ahli yang berdaftar dan melalui salasilah berkenaan, penerima akan dihubungi sebelum dijanjikan amaun itu jika pulang mengundi.

“Siasatan masih dijalankan SPRM dari pelbagai sudut bagi mengetahui punca wang dan siasatan awal, tindakan itu merupakan inisiatif jentera cawangan itu sendiri,” jelasnya.


Jumaat lalu Utusan Malaysia melaporkan, 90 individu dikenal pasti SPRM disyaki menerima sejumlah wang untuk mengundi sebuah parti politik.

Tindakan itu selepas satu siasatan dimulakan SPRM susulan penularan video menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran bagi tujuan mengundi.

Hasil siasatan SPRM, beberapa dokumen seperti tandatangan akuan menerima wang tunai oleh individu terlibat juga diperoleh bagi siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum itu mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku pembelian undi atau perbuatan rasuah ketika tempoh berkempen PRU15.

Siasatan dilakukan menerusi aduan dan bahan bukti berupa rakaman video yang berlaku di sebuah daerah di Terengganu ekoran dakwaan pemberian wang tunai sebagai ‘umpan undi’.

Tegasnya, berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, menjadi satu kesalahan memberi sebarang bantuan kewangan sepanjang kempen kerana ia boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk rasuah.

Katanya, meskipun ada parti politik menyatakan bantuan kewangan yang diberikan berupa sedekah, namun pemberian tersebut tetap satu unsur rasuah seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram