Pas lipat gandakan ‘sedekah’ pada 6 PRN, sindir Puad



KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir Pas dengan mendakwa parti itu akan melipat gandakan amalan ‘sedekah’ pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, setakat ini, Pas masih belum didapati bersalah oleh pihak berkuasa atas perbuatan memberi ‘sedekah’ kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sehubungan itu, beliau mendakwa, Pas dijangka meneruskan amalan tersebut pada PRN akan datang berikutan memiliki banyak wang untuk tujuan itu.

“Oleh kerana belum ada tindakan terhadap sedekah Pas, sudah tentu Pas akan melipat-gandakan sedekah di PRN enam negeri akan datang.


“Apatah lagi Pas masih banyak duit untuk disedekahkan. Menurut pemimpin Pas, aktiviti mengedar tin milo sudah lama dibuat. Ia bantu Pas kumpul duit mungkin bilion ringgit untuk disedekahkan,” tulis beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon Pas.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU-15.

Polemik memancing undi menggunakan wang disifatkan sebagai sedekah tercetus apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, ia bukan amalan rasuah, sebaliknya pemberian ‘sedekah’ itu adalah hak orang awam untuk memberikannya kepada pengundi parti itu.


Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan, rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk mentafsirkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan maksud pembelian undi.

Katanya, SPRM menyiasat apa sahaja bentuk rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang bukan mengikut kepada tafsiran peribadi.

Dalam pada itu, Mohd Puad menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan keras bagi memastikan amalan ‘sedekah’ Pas tidak berterusan pada PRN enam negeri nanti.

Oleh kerana SPRM sudah kata sedekah waktu pilihan raya adalah rasuah, maka diharap Suruhanjaya Pilihan Raya dan SPRM bertindak keras terhadap aktiviti sedekah Pas semasa PRN nanti,” katanya. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram