Shah Rukh Khan pelakon nombor empat terkaya di dunia



RAMAI peminat filem Hindi di Malaysia tahu Shah Rukh Khan, 57, bintang ternama di Bollywood. Tetapi tahukah anda dia merupakan pelakon nombor empat paling kaya di dunia. Ini satu pencapaian peribadi kerana kerap kali pelakon yang berada dalam senarai paling kaya adalah di kalangan pelakon Hollywood.

Bintang ‘Mohabbaten’ (filem tahun 2000) itu dilapor memiliki kekayaan berjumlah AS770 juta atau RM3.339 bilion. Dia merupakan pelakon tunggal dari India dalam kelompok lapan pelakon paling kaya dunia.

Senarai ini turut membariskan seorang lagi pelakon dari Asia, iaitu bintang aksi popular Hong Kong, Jackie Chan, di tempat ke enam dengan aset AS520 juta (RM2.255 bilion).

Memetik esnownews.com, data ini diperoleh melalui laporan Richest Actors in The World (Pelakon Terkaya Di Dunia). Pelakon komedi Jerry Seinfiled disenarai sebagai pelakon paling kaya di dunia, diikuti Tyler Perry dan Dwayne Johnson atau The Rock.


Seinfield memiliki aset bersih AS1 bilion (RM4.336 bilion). Pelakon Tyler Perry juga memiliki AS1 bilion sementara bekas bintang wrestling, The Rock, memiliki AS800 juta (RM3.648 bilion).

Selepas Shah Rukh di tempat ke empat, pelakon yang menduduk tangga kelima ialah Tom Cruise yang memiliki aset AS620 juta (RM2.688 bilion), diikuti oleh Jackie Chan di tangga ke enam dengan aset $520 juta (RM2.255 bilion).

Di tempat ketujuh ialah George Clooney dengan aset AS500 juta (RM2.168 bilion) sementara Robert De Niro di tangga ke lapan juga dengan aset AS500 juta.

Walau pun terdapat dua pelakon yang memperoleh pendapatan sama iaitu Seinfiled dan Perry masing-masing berjumlah RM4.336 bilion, tidak dinyatakan bagaimana kedudukan masing-masing ditentukan dalam carta antara tempat pertama dan kedua.

Begitu juga dengan kedudukan George Clooney dan Rober De Niro yang mempunyai pendapatan sama RM2.168 bilion, masing-masing berada pada kedudukan ke tujuh dan ke lapan.


Kehebatan Shah Rukh Khan menempatkan diri dalam carta pelakon paling kaya kerana kedudukannya sebagai hero pujaan bukan sahaja di India, tetapi juga seluruh dunia, merentasi benua.

Dia mengumpul kekayaan melalui filem lakonannya yang kebanyakannya pecah panggung, selain sumber pendapatan lain seperti iklan dan syarikat penerbitan miliknya yang menghasikan program untuk televisyen.

Dengan nama besar dimiliki, Shah Rukh Khan memperoleh bayaran tinggi bagi setiap filem. Malah penerbit bersedia memberi bayaran pendahuluan atau upfront, misalnya bagi filem ‘Raee’s. Selain bayaran upfront dia juga menerima bayaran insentif lain.

Filem terbarunya yang merupakan filem aksi, ‘Pathan’, dijangka menjadi filem box-office. Diarahkan oleh Siddarth Anand, filem terbitan Yash Raj Film ini akan mula ditayangkan di India pada 25 Januari. Ia turut membariskan pelakon popular Deepika Padukone serta John Abraham.

Selain melalui filem, Shah Rukh juga menimba kekayaan selaku model iklan bagi sekurang-kurangnya 14 barangan berjenama, merangkumi pelbagai produk tempatan dan antarabangsa popular. Pulangan yang diterima sangat lumayan.


Antaranya produk di mana da menjadi model ialah ICICI (sektor perbankan), Byju’s (pendidikan), BigBasket (pasar raya Online), Tag Heuer (jam tangan), juga produk mandian Lux serta kereta terkenal produk Korea, Hyundai.

Kekayaan bertambah dengan kejayaan syarikat penerbitan miliknya, Red Chillies Entertainment, memperoleh pulangan tinggi melalui produksi seperti Badla dan Bard of Blood yang disiarkan melalui Netflix.

Menurut data Forbes, pendapatan tahunan Shah Rukh Khan ialah sekitar AS38 juta atau RM164.9 juta. Dia berada pada kedudukan ke enam dalam senarai Forbes bagi 100 selebriti India pada 2019. Sebelum itu dia menduduki tangga ke-13. Nampak peningkatan ketara dari segi kedudukan dalam tempuh singkat.

Antara filem hebat lakonan Shah Rukh Khan ialah Dilwale (2015), Brahmastra (2022), Baaazigar (1993), Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995), Dil To Pagal Hai (1997), Kabhi Khusi Kabhie Gham (2001), Kuch Kuch Hota Hai (1998), Chennai Express (2013), Devdas (2002), Don (2006) dan banyak lagi. — BebasNews


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram