'Kami jemput Ketua Hakim undur kerana mempunyai konflik kepentingan' – Peguam Najib



Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sepatutnya menarik diri daripada mengetuai rayuan kes SRC International Sdn Bhd Datuk Seri Najib Razak kerana beliau mempunyai konflik kepentingan berikutan hantaran Facebook (FB) suaminya, lima tahun lalu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata, ini kerana suami hakim tertinggi itu menyalahkan Najib pada 2018 atas kejatuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

"Suaminya, Datuk Zamani Ibrahim melemparkan kritikan terhadap Najib pada 2018 sebaik sahaja keputusan pilihan raya keluar. Ia disifatkan seperti satu perayaan di FB.

"Perkara itu (hantaran FB) telah dibangkitkan pada 23 Ogos tahun lalu di hadapan mahkamah tertinggi. Ketua Hakim sepatutnya tidak mendengar (rayuan itu) dan memutuskan untuk menarik diri.


"Kami menjemput Ketua Hakim untuk berundur kerana beliau mempunyai konflik kepentingan berdasarkan hantaran FB suaminya," katanya.

Muhammad Shafee berkata penularan perkongsian maklumat antara suami dan isteri boleh berlaku dan isu itu perlu dipertimbangkan secara serius.

"Lazimnya rata-rata suami dan isteri akan berkongsi pendapat," katanya sambil menambah terdapat kegagalan korum kerana tidak dapat mempertahankan Hakim Tengku Maimun untuk mendengar rayuan itu apabila suaminya mengkritik Najib dalam hantaran media sosial itu.

Selain itu, Muhammad Shafee juga menegaskan hakim tertinggi itu gagal untuk mempertimbangkan mana-mana daripada 94 alasan rayuan yang dikemukakan Najib dalam rayuannya tahun lalu.

"Bekas peguam Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak diberi peluang untuk mengemukakan 94 alasan rayuan itu. Malah, Hisyam bukan enggan untuk memberi hujahan sebaliknya beliau tidak bersedia berbuat demikian… beliau memohon penangguhan kerana perlukan lebih masa untuk membuat persiapan tetapi ditolak oleh mahkamah.


"Beliau kemudian mahu menarik diri tetapi mahkamah memaksanya untuk terus mewakili Najib," katanya.

Muhammad Shafee berkata demikian pada pendengaran permohonan Najib untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau berhujah demikian di hadapan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun pada 23 Ogos tahun lalu dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Muhammad Shafee dijadual menggulung hujahannya esok dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram akan memulakan hujahnya. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram