Dicerai sebab tak jemput abang ipar buka puasa



Kaherah: Seorang warga Mesir menceraikan isterinya selepas wanita itu enggan menjemput abang iparnya berbuka puasa bersama pada hari pertama Ramadan.

Wanita itu berkongsi kisahnya di Tahia Masr dengan mendakwa suami tidak menjaga privasi di rumah mereka, selain pengaruh negatif abang iparnya itu sebagai punca perpisahan mereka.

Gulf News melaporkan, pasangan itu mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki serta dua anak perempuan.


Wanita yang nama tidak didedahkan itu bimbang suaminya terpengaruh dengan sikap abangnya yang sering berkahwin dan bercerai, serta akan melakukan perkara sama.

Dia juga mendakwa suaminya itu berkongsi kehidupan rumah tangga mereka kepada abangnya, termasuk hal kewangan keluarga, membuatkan dia berasa seperti tiada kerahsiaan.

Lebih mengecewakan apabila suami tidak berupaya membuat keputusan sendiri tanpa bantuan abangnya.

Ketegangan memuncak apabila suami berkeras mahu abangnya bersama isteri baharu menyertai mereka berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.


Bosan dengan kehadiran abang iparnya yang berterusan, dia meminta untuk mereka menghabiskan masa bersama anak-anak namun suaminya tidak bersetuju, malah memaksanya untuk mengajak lelaki itu.

Dia bagaimanapun ingkar dengan arahan suaminya menyebabkan lelaki itu memintanya keluar rumah dan pulang ke rumah keluarga serta memberitahu mahu menceraikannya.

Tiga minggu kemudian, wanita itu menerima surat cerai yang mendorong kes terbabit dibawa ke mahkamah keluarga bagi dia mendapatkan hak selayaknya termasuk hak penjagaan anak. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram