Orang lain makan okay, mungkin keracunan makanan lain, kata penjual ikan buntal

NG bersama mendiang ibu dan bapanya yang kini dirawat di ICU selepas makan ikan buntal. FOTO Ihsan Ng Ai Lee.


luang: Wanita warga emas yang maut selepas makan hidangan ikan buntal di Kampung Chamek, Paloh, dekat sini, Sabtu lalu tidak mengetahui spesis ikan itu beracun.

Anak mangsa, Ng Ai Lee, 51, berkata, ayahnya, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing 84, membeli ikan berkenaan daripada seorang penjaja van yang datang ke kediaman orang tuanya dan sudah sekian lama menjadi pelanggan tetapnya.

Apa yang kesalkan, Ng berkata, penjual berkenaan tidak memberitahu ikan dibeli bapa sebenarnya beracun.

"Ini pertama kali ayah membeli ikan dan makan ikan buntal. Ketika adik lelaki ketiga menghantar mereka ke hospital, ayah sempat memberitahu dia tidak tahu ikan yang dibeli itu adalah ikan buntal dan beracun.


"Saya ada menghubungi penjaja berkenaan sebelum ibu disahkan meninggal dunia, tetapi memaklumkan selama ini dia menjual ikan buntal dan semua pelanggannya okay, selain mendakwa punca keracunan mungkin kerana makanan lain atau faktor kesihatan ayah dan ibu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan wanita maut, manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), di sini, selepas makan hidangan ikan buntal, Sabtu lalu.

Mangsa Lim Siew Guan, 83, meninggal dunia selepas beberapa jam dirawat manakala suaminya masih dirawat di ICU.

Ng berkata, pihaknya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kes seumpama ini berlaku kerana penjualan ikan beracun itu yang tiada kawalan.


"Kenyataan awal mengatakan ayah membeli ikan berkenaan melalui tempahan awal di laman Facebook adalah tidak tepat.

"Ketika ini keluarga menghadapi saat saat sukar dan tidak tahu hendak mengambil tindakan apa melainkan membuat laporan polis.

"Tetapi kami berharap pihak berkuasa dapat membela nasib ayah dan ibu yang menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab penjual yang sanggup merisikokan nyawa orang lain demi kepentingan sendiri," katanya.

Katanya, mayat ibunya selamat disemadikan di tanah perkuburan Cina dekat kediaman mereka hari ini manakala bapa masih tidak sedarkan diri dan dirawat di ICU, Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini.  − Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram