Hanya 2 undi tak setuju tangguh pemilihan UMNO – Tajuddin



PETALING JAYA: Pengarah pilihan raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata hampir semua rakan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bersetuju keperluan menangguhkan pemilihan Umno sehingga 18 bulan kerana krisis Covid-19.

Beliau berkata hanya dua daripada lebih 40 ahli MKT yang mengundi, tidak bersetuju dengan usul penangguhan pemilihan itu.

“MKT meluluskan usul (menangguhkan pemilihan) minggu lalu,” Tajuddin memberitahu FMT.

“Hanya dua ahli MKT menolak, yang lain setuju pemilihan ditangguhkan sehingga 18 bulan,” kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu.


Beliau berkata tempoh penangguhan 18 bulan itu bermula bulan ini, bermakna Umno wajib mengadakan pemilihannya sebelum penghujung tahun depan.

“Ia tidak bermakna penangguhan untuk 18 bulan. Pemilihan boleh diadakan lebih awal jika keadaan mengizinkan,” kata beliau.

Penangguhan pemilihan Umno itu disahkan oleh timbalan presidennya Mohamad Hasan yang berkata walaupun pemilihan boleh dijalankan secara maya, ia mustahil ketika ini kerana 3 juta ahli di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara perlu bermesyuarat dan mendengar maklum balas akar umbi dalam proses itu.

Beliau berkata keputusan Umno itu sudah di maklumkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan. – FMT





Umno tangguh pemilihan parti, mustahil ketika wabak

PETALING JAYA: Umno menangguhkan pemilihan parti itu selama 18 bulan atau sehingga situasi pulih susulan wabak Covid-19.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata, walaupun pemilihan boleh dijalankan secara maya, ia mustahil ketika ini kerana 3 juta ahli di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara perlu bermesyuarat dan mendengar maklum balas akar umbi dalam proses itu.

“Menurut perlembagaan Umno, kita boleh tangguh selama 18 bulan…tapi tak semestinya kita perlu tunggu selama itu. Sekiranya keadaan bertambah baik, kita boleh dan akan adakan pemilihan lebih awal,” katanya kepada FMT.

Mohamad berkata, Umno sudah memaklumkan penangguhan itu dan sebabnya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.


Sebelum ini Mohamad dilapor berkata, Umno mempunyai tempoh masa sehingga 18 bulan untuk menangguhkan pemilihan bermula dari tarikh Perhimpunan Agung Umno yang diadakan pada 28 Mac.

Pemilihan Umno dijangka diadakan pada hujung tahun ini, namun sebelum ini tarikh sebenar pemilihan bergantung kepada PRU15. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram