Bukan 40, hanya 19 MP je yang hadir meeting dengan Ismail Sabri



ETALING JAYA: Spekulasi timbul bahawa hanya 19 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menghadiri satu mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, bukannya 40 Ahli Parlimen yang dikatakannya.

“Orang dalam” parti itu berkata, mesyuarat itu diadakan di Kuala Lumpur untuk menunjukkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Hanya 19 Ahli Parlimen yang hadir, bukan 40,” kata orang dalam itu kepada FMT, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kesetiaan 21 Ahli Parlimen yang lain.

Sumber itu berkata, sesetengah Ahli Parlimen mungkin menjauhkan diri daripada Muhyiddin susulan ketegangan antara perdana menteri dengan Istana Negara.


“Majoriti daripada mereka menyokong Muhyiddin, tetapi sekarang baki 21 Ahli Parlimen mungkin menjauhkan diri selepas ketegangan antara pentadbiran Muhyiddin dengan Istana.”

Pada 26 Julai lalu, Istana Negara berkata, kerajaan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri berkata, pembatalan itu dibuat berdasarkan undang-undang.

Ini menyusul pengumuman mengejutkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan bahawa Ordinan Darurat dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.


Seorang lagi Ahli Parlimen BN mempersoalkan jika mesyuarat (dengan timbalan perdana menteri) mematuhi SOP Covid-19.

“Adakah mereka mematuhi SOP?” soalnya sambil menambah ia mungkin tidak adil kerana rakyat yang dikompaun atas pelanggaran SOP.

Beliau turut mempersoalkan jika Muhyiddin masih mempunyai majoriti memandangkan lebih ramai Ahli Parlimen BN menjauhkan diri daripada kepimpinannya.

Terdahulu, Ismail dilaporkan berkata, kenyataan daripada BN yang 40 Ahli Parlimen menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin adalah tulen.


Katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan satu mesyuarat dengan 40 Ahli Parlimen pada 29 Julai lalu.

Ini seterusnya menyebabkan bekas perdana menteri, Najib Razak mempertikaikan keengganan kerajaan menguji sokongannya di Dewan Rakyat.

Katanya, beliau tidak memahami keperluan untuk sering mengeluarkan kenyataan mengatakan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti dengan mendakwa 115 Ahli Parlimen memihak kepadanya.

“Tapi apabila sampai ke Parlimen, mereka cuba sedaya upaya untuk elak sebarang pengundian bagi apa-apa usul dalam Dewan,” katanya dalam catatan di Facebook semalam. – FMT





Join our Telegram Channel
Telegram