Nak tau saya sokong PM8 ke tak, buka la Parlimen buat undi – Najib



Kenapa kerajaan PN sanggup lakukan apa sahaja untuk elak undian dalam Dewan Rakyat?

Termasuk tipu dalam Dewan, derhaka pada YDP Agong, gunakan apa sahaja alasan untuk elak buka dan tangguh parlimen.

Sebab dia tak ada majoriti.

Kenyataan peguam negara baru-baru ini kata Muhyiddin masih PM sebab tidak ada bukti jelas bahawa dia sudah hilang sokongan majoriti dalam Dewan.


"8 Julai 2020: Tiada fakta jelas PM tidak lagi dapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat - Peguam Negara". Rujuk di sini.

Sebenarnya, SD-SD tak terpakai. Tak guna mereka tanda tangan SD sini atau sana ataupun umum mereka ada 40, 110, 115 sokongan ahli parlimen.

Itu cuma kertas dan air liur. Seorang ahli parlimen boleh tanda tangan 2-3 versi akuan bersumpah yang berlainan.

Buat PC untuk umum tarik sokongan pada PM (seperti yang saya buat Khamis lalu) atau kata secara umum sokong PM atau tukar tempat duduk dalam Dewan pun tak berhasil.

Sebab itu, YDP Agong sudah 4 kali titah agar parlimen sambung bersidang dan ordinan-ordinan darurat dibahas (dan diundi) dalam dewan.


Supaya boleh buktikan pada semua secara umum termasuk kepada YDP Agong sama ada PM memperolehi sokongan majoriti ke tidak.

Sebab yang paling penting ialah undian dalam Dewan yang menjadi bukti paling jelas dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa termasuk Peguam Negara.

Tidak perlu turun untuk berguling-guling kat Jalan Raya pada masa pandemik.

Kerajaan PN faham bahawa usaha-usaha paling kuat mereka dalam tempoh Darurat 7 bulan untuk mengugut atau membeli lebih ramai katak untuk mendapat sokongan majoriti sudah gagal.

Mereka faham sudah tiada sokongan majoriti.

Sekiranya usul-usul yang di bawa kerajaan ke Dewan asyik kalah undi, maka ianya bukti paling jelas bahawa Muhyiddin perlu undur secara terhormat.


Tapi kerajaan PN lebih rela menjadi sebuah kerajaan lumpuh yang tidak dapat membawa dan meluluskan sebarang usul termasuk bajet negara, sanggup menjadi sebuah kerajaan yang menipu Rakyat seta derhaka pada Istana hanya supaya mereka tersangat ingin kekal kuasa.

Kesejahteraan Rakyat, integriti proses demokrasi dan kesetiaan kepada Raja, mereka tolak ke tepi.

Kegagalan demi kegagalan di bawa mereka sehingga kita antara paling corot dalam dunia dari segi Covid dan ekonomi.

Sekiranya sudah diberi kuasa penuh Darurat selama 7 bulan dan dibuatnya PKP 2.0, PKP 3.0/3.1, Total Lockdown, PKPD serta PPN beransur-ansur tapi Covid jadi lebih 10 kali lebih teruk dan RM600 bilion sudah dibelanja tanpa hasil yang nyata, apa lagi nak dikata?

Sudah tentu ada seorang yang perlu bertanggung jawab bagi kegagalan segala-galanya yang amat teruk sekali ini yang bawa kepada kehilangan nyawa dan kerosakan negara serta kewangan kerajaan.


Seperti dibuktikan di banyak negara-negara lain termasuk masa Biden ganti Trump, menukar PM atau pemimpin tertinggi negara langsung tak ganggu usaha melawan Covid atau memberi vaksin.

Malah bertambah baik selepas pemimpin ditukar.

Terutamanya ganti seorang pemimpin yang fokus dan keutamaannya tiap-tiap hari ialah mencatur bagaimana nak ugut atau kutip lebih banyak katak atau rancang bagaimana nak eksploitasi undang-undang serta institusi negara untuk elak hilang kuasa.

Nak tahu saya dan rakan-rakan sokong PM8 atau tidak?

Tunggu undian bagi sebarang usul dalam parlimen.

- Najib Razak



Join our Telegram Channel
Telegram