Anggota Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bahawa dia tidak boleh melangkaui kepemimpinan parti meskipun memegang jawatan dalam kerajaan.
"Dalam parti, Ismail Sabri Yaakob adalah naib presiden. Dia bukan presiden dan bukan timbalan presiden. Dia juga bukan pengerusi BN.
"Dia TPM. Tetapi itu bukan tiket untuk Ismail Sabri bulldoze presiden Umno dan pengerusi BN. Dia perlu dapat persetujuan presiden Umno jika babit soal parti.
"Hatta untuk buat pertemuan dengan ahli parlimen Umno dan BN, perlu dapat persetujuan dari Pengerusi BN," kata Puad dalam satu kenyataan hari ini.
Puad bekata demikian mengulas pertemuan Ismail Sabri dengan 40 Ahli Parlimen BN di Parlimen pada Khamis lalu berhubung sokongan untuk mengekalkan kerajaan PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Sahfri Ab Aziz kemudian mengeluarkan kenyataan lain yang mengecam kenyataan yang dikatakan oleh Ismail Sabri itu sebagai palsu.
Namun, Ismail Sabri sendiri, bekas setiausaha agung BN Nazri Aziz dan Annuar Musa mengesahkan pertemuan itu dan surat sokongan itu juga asli.
Mengulas lanjut, Puad mempersoalkan mana mungkin boleh diadakan dua pertemuan dalam tarikh dan waktu yang sama.
"Mana boleh presiden buat perjumpaan, naib presiden pun buat perjumpaan pada tarikh dan waktu yang sama.
"Apatah lagi dalam perkara yang babit soal dasar parti dan keputusan yang sudah dibuat oleh MKT. Jangan ubah keputusan MKT. Tidak boleh ada dua nakhoda. Pecah Umno," kata Puad.
Soalnya lagi adakah timbalan ketua bahagian Umno boleh menggunakan kepala surat bahagian untuk penyataan tanpa kebenaran pemimpinnya.
"Hatta untuk buat pertemuan dengan MP Umno dan BN, perlu dapat persetujuan dari Pengerusi BN ," tambahnya.
Pada Khamis lalu, berlaku perselisihan mengenai kesahihan kenyataan yang mendakwa hampir semua ahli parlimen BN menyokong Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri.
Kenyataan yang dipertikaikan itu ditandatangani oleh Ismail Sabri, yang mendakwa timbalan perdana menteri itu mempengerusikan mesyuarat yang melibatkan 40 ahli parlimen BN, yang sebulat suara menyokong kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin.
Bagaimanapun, Mohamad Sahfri kemudian mengeluarkan kenyataan lain yang mengecam kenyataan yang dikatakan oleh Ismail Sabri itu sebagai palsu.
Untuk rekod, BN mempunyai 42 ahli parlimen, 38 Umno, dua MCA, satu MIC dan satu PBRS.
Pertikaian mengenai kedudukan Muhyiddin dan PN timbul susulan teguran keras Istana Negara terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Idrus Harun mengenai isu pembatalan ordinan darurat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel