Saya tiada masalah dengan DAP ketika keluar parti, kata Norhizam



AYER KEROH: Norhizam Hassan Baktee tidak mempunyai masalah peribadi dengan DAP ketika membuat keputusan meninggalkan parti itu tahun lalu, namun beliau tidak mahu terus mendiamkan diri berhubung pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Norhizam bertegas keputusan itu dibuat bagi membolehkannya berkhidmat lebih baik di kawasannya dan tidak mahu menjadi sebahagian daripada pembangkang yang akan mengkritik semua perkara dilakukan kerajaan.

Katanya, beliau tidak dapat melaksanakan janjinya kepada pengundi ketika berada dalam Pakatan Harapan (PH) kerana tidak lagi berada dalam kerajaan negeri.

“Sebab itu saya keluar parti dan (menjadi wakil rakyat) bebas. Kini saya masih bebas. Bebas bersuara, bebas membela nasib rakyat di DUN Pengkalan Batu.


“Tak ada, saya tiada isu (dengan DAP). Saya tidak suka cerita politik. Selepas saya tinggalkan DAP, saya tak bercakap mengenai politik. Ada kamu nampak (kenyataan)? Tak ada.

“Tetapi, bila orang mengusik saya sehingga ke hari ini, sekarang tibalah masa untuk saya membalas dan menjelaskan kepada rakyat. Mana mungkin saya boleh bantu rakyat di Pengkalan Batu jika jadi pembangkang?” katanya kepada FMT.

Norhizam menjadi ahli DAP sejak 2005 sebelum dipecat pada Mac 2020. Katanya, beliau menyerah jiwa dan raganya kepada parti itu selepas mengikut jejak langkah arwah bapanya menyertai parti itu.

Bapanya, Hassan Baktee Mohd bertanding dua kali sebagai calon DAP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bachang sebelum ia dinamakan semula sebagai Pengkalan Batu.

“Saya pernah ditangkap, dilokap dan ditahan selama tujuh hari. Pernah diheret ke muka pengadilan kerana memperjuangkan DAP,” katanya sambil mengakui tidak pernah menyesal meninggalkan DAP.

“Kenapa saya nak menyesal? Hari ini, jika saya bertanding atas tiket DAP, saya rasa mungkin akan kalah. Rata-rata orang marah dengan Lim Guan Eng. Kenapa marah? Tanyalah Lim ketika dia jadi menteri kewangan, apa yang telah dia lakukan.”


Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Exco untuk kerajaan negeri pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) berkata, kedua-dua pentadbiran itu “sama sahaja”.

“Ketika PH memerintah, kita lihat ia juga menyebabkan orang marah, dalam mesyuarat Exco, keputusan dasar agak tergantung.

“Dalam kerajaan (BN) pula, keputusan tidak boleh dibuat, ditangguhkan dan tidak dibawa kembali ke mesyuarat Exco tersebut,” katanya yang menjelaskan mesyuarat Exco sepatutnya menjadi badan tertinggi pembuat keputusan bagi kerajaan negeri.

Norhizam dan tiga ADUN lain menarik sokongan kepada kerajaan negeri terdahulu bulan lalu, yang memberi laluan kepada pilihan raya negeri Melaka pada Sabtu depan.

Beliau berkata, lebih mudah untuk dirinya dan tiga yang lain berdiam diri mengenai masalah dalam kerajaan pimpinan BN daripada bertindak berdasarkan kebimbangan mereka dan menarik balik sokongan.

“Kami ni bergaji besar, kalau kami tak tarik (sokongan) pun tak apa. Tetapi disebabkan kami tak mahu melihat benda yang rakus, jahil dan tamak berlaku di depan mata kita…sebab itu kita tarik diri.” – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram