Marina DAP alami serangan panik semasa ceramah sulungnya



JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim mengalami serangan panik semasa  berkempen di sini malam ini.

Marina yang juga pimpinan DAP tempatan berhenti kira-kira 18 saat selepas satu minit 20 saat menyampaikan ucapan di hadapan penyokongnya di kawasan perniagaan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Bagaimanapun hadirin yang melihat wanita itu gugup kemudiannya bertepuk tangan dan bersorak menyebut nama Marina sebagai tanda sokongan kepadanya untuk meneruskan ucapan.

“Saya berhenti sebentar panik, sebabnya saya takut apa yang saya sampaikan boleh diterima atau pun boleh difahami.


“Ini adalah kali pertama untuk saya bertanding, memang gementar. Bukan gementar sedikit tetapi sangat-sangat gementar,” kata Marina jujur ketika ditemui selepas selepas itu.

Walaupun begitu, menurutnya, ceramah sulungnya yang berdurasi kurang sembilan minit itu agak baik dan beliau belajar banyak perkara dalam tempoh tersebut.

“Ini adalah satu permulaan yang baik untuk saya belajar banyak perkara. Kalau kita tengok sebelum ini, saya lebih tertumpu pada kerja-kerja di bawah. Bukan untuk kerja-kerja kempen.

“Tapi hari ini bila diberi peluang dan menjadi calon pertama kali saya rasa untuk malam ini agak baiklah,” katanya.

Walaupun terganggu di saat awal, Marina kemudiannya menyambung ucapan dengan lancar.


Beliau berharap majoriti pengundi berketurunan Cina di DUN Skudai akan memberikannya peluang untuk berkhidmat dan menyokongnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya ingin mengingatkan anda semua, bahawa walaupun saya seorang Melayu ramai di kawasan ini majoriti Cina, saya faham anda semua adalah bijaksana dan boleh membuat pilihan yang baik.

“Zaman sekarang bukan hanya Cina perlu menjaga Cina, Melayu menjaga Melayu tetapi zaman sekarang adalah zaman di mana Cina boleh dijaga oleh Melayu, Melayu boleh dijaga oleh Cina, boleh dijaga oleh India.

“Kerana apa? Kerana kita adalah satu keluarga. Kita adalah rakyat Malaysia. Itulah yang paling penting dan kita jangan termakan isu-isu perkauman,” ucap Marina.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Marina mengakui sebenarnya tidak sangka akan disenaraikan sebagai calon oleh DAP.



Marina yang telah menjadi ahli DAP sejak tahun 2016 percaya namanya diangkat kerana kerja-kerja yang telah dilakukan di dalam parti itu selama ini.

“Saya tidak masuk DAP sewenangnya tapi saya buat kajian dan mahu cabar diri sendiri. Saya melihat DAP adalah satu parti yang menjaga hak semua kaum. Itu yang penting,” jelasnya.

Dalam kempen pilihan rayanya, beliau akan memperjuangkan isu berkaitan peniaga kecil dan mereka yang mahu mencari pendapatan tambahan.

Katanya, selepas pandemik Covid-19, ramai yang bergelut dengan kehidupan akibat ekonomi yang tidak menentu termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram