Muhyiddin, PN sokong pulih semula projek HSR zaman Najib



JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) akan menyokong pemulihan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura antara Malaysia dan Singapura sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya negeri.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah menyatakan sokongan terhadap projek itu ketika beliau menjadi Perdana Menteri, dengan mendakwa HSR akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"HSR adalah baik untuk negara dan Singapura. Jika Singapura mahu kembali (untuk berunding semula), ia bagaimanapun tidak akan mengikut asas atau perkiraan yang sama dibuat semasa zaman Najib (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak).


"Saya percaya ini (HSR) adalah satu 'game changer'. Saya telah mengatakannya sebelum ini dan saya akan nyatakannya sekali lagi. Ya, ia adalah 'game changer'. Kami (PN) mahu melakukannya,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Ikrar PN 'Demi Bangsa Johor', di sini pada Rabu.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu berkata demikian ketika ditanya sama ada PN akan menyokong pemulihan projek HSR yang melibatkan berbilion ringgit itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mendakwa bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau juga telah meninjau beberapa model sekiranya Singapura tidak mengambil bahagian dalam projek itu.

Menurut beliau, syarat atau terma utama projek HSR harus dirundingkan semula jika Singapura memilih untuk membuka semula perbincangan mengenainya, meskipun projek itu masih berdaya maju walaupun tanpa penyertaan republik itu.

"Walaupun Singapura tidak mengambil bahagian, kita telah membuat kiraan melalui HSR Sdn Bhd bahawa ia (HSR) masih berdaya maju. Tetapi, ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula kos HSR. 


"Saya juga mempunyai idea untuk melanjutkan HSR bukan sahaja ke Kuala Lumpur, tetapi kita mahu bergerak ke utara ke Bangkok dan malah ke beberapa negara lain (dari Thailand) di rantau ini. Itu adalah sebahagian daripada rancangannya," kata beliau.

Pada 1 Januari tahun lepas, Malaysia dan Singapura bersama-sama mengumumkan penamatan projek HSR kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia telah membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

Kurang setahun selepas penamatan projek itu, semasa lawatan rasmi ke Singapura pada November tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencadangkan kepada rakan sejawatannya Lee Hsien Loong untuk memulihkan projek berkenaan. – Bernama


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram