Najib curi tumpuan, Muhyiddin pula ‘senyap’ dalam kempen PRN Johor



JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memulakan kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Johor pada Sabtu dengan mengelilingi Pagoh, iaitu kawasan bekas timbalannya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang memilih untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada pilihan raya negeri (PRN) ini, nampaknya telah dibayangi oleh Najib dan berdiam diri ketika berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) sejak dua hari lalu.

Biarpun Muhyiddin berada di Pagoh dan Muar untuk menunjukkan sokongannya kepada calon PN dan menghadiri beberapa majlis, namun Presiden Bersatu dan Pengerusi PN itu kelihatan agak senyap. Beliau juga tidak berkempen untuk PN semalam.


Bagaimanapun, Najib meluangkan masa pagi Ahad bersama komuniti Cina di Perling dan ramai ingin bergambar dengan beliau walaupun terpalit dengan skandal 1MDB.

Malah di media sosial juga, Najib nampak sibuk membuat hantaran di Facebook manakala Muhyiddin pula terus senyap.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir berkata pengundi kelihatan lebih cenderung kepada gabungan pimpinan Umno dan mereka kini boleh menilai ketika BN dan ketika PN berkuasa.

Katanya, sentimen akar umbi menunjukkan Najib adalah tokoh yang lebih popular antara kedua-duanya dan Ahli Parlimen Pekan berkenaan “jauh di hadapan berbanding Muhyiddin” dalam hal itu.

“Mereka boleh menilai siapa yang lebih baik dalam mentadbir negeri, atau negara secara keseluruhan. Mereka telah melihat prestasi Najib dan Muhyiddin (sebagai Perdana Menteri).


“Walaupun ada yang cuba memperkatakan mengenai 1MDB dan kluster mahkamah, ia hanya berlebihan. Orang ramai tidak kisah. Apa yang penting kepada rakyat sekarang ialah kestabilan dan keupayaan kerajaan negeri baharu untuk memimpin Johor ke era baharu.

“Rakyat cuba bersikap realistik. Ini adalah politik sebenar. Bagi menghadapi masa depan, mereka mahukan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang kerja dan semua perkara ini,” katanya.

Jeniri berkata secara jelasnya, Najib turun padang dengan penuh keyakinan, satu faktor yang penting bagi mana-mana pemimpin politik.

Bagaimanapun, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata Najib tidak boleh melihat populariti BN yang meningkat dalam kalangan pengundi sebagai penerimaan peribadi atau sokongan walaupun beliau berdepan kes rasuah. – FMT




ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram