Muhyiddin akhirnya sedar manfaat HSR, kata Najib



PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, Muhyiddin Yassin akhirnya menyedari bahawa projek Kuala Lumpur-Singapore High-Speed Rail (HSR) akan membawa manfaat besar untuk Johor.

Katanya, Muhyiddin yang membatalkan projek itu ketika beliau menjadi Perdana Menteri, malah mengarahkan kerajaan membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura.

“Dia juga yang janji akan pulihkan projek yang dia batalkan jika PN menang PRN Johor tahun ini sebab akhirnya dia sedar projek yang diusahakan saya memberi manfaat besar bagi Johor,” katanya di Facebook.


Beliau mengulas laporan Bernama hari ini bahawa Muhyiddin menyokong projek HSR ketika menjadi Perdana Menteri, selain Perikatan Nasional (PN) akan menyokong projek itu dipulihkan jika pakatan berkenaan menang dalam pilihan raya negeri pada 12 Mac ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, projek itu akan menjadi satu “game-changer” malah mendakwa ketika menjadi Perdana menteri beliau turut meninjau beberapa model sekiranya Singapura tidak mengambil bahagian dalam projek itu.

“Kita telah membuat kiraan…bahawa HSR masih berdaya maju. Tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula kos HSR.


“Saya juga mempunyai idea untuk melanjutkan HSR bukan saja ke Kuala Lumpur, tetapi kita mahu bergerak ke utara ke Bangkok malah ke beberapa negara lain di rantau ini,” katanya.

Pada 1 Jan tahun lalu, Malaysia dan Singapura bersama-sama mengumumkan penamatan projek HSR kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Putrajaya sebelum perjanjian projek luput pada 31 Dis 2020.

Bagaimanapun, ketika lawatan rasmi ke Singapura pada November tahun lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan kepada rakan sejawatannya Lee Hsien Loong untuk memulihkan projek berkenaan. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram