Tutup sempadan hanya alasan, kata bekas KPN Musa berkait siasatan Tawfiq



KUALA LUMPUR: Penutupan sempadan hanya alasan polis dalam penangguhan siasatan rasuah ke atas Tawfiq Ayman, kata bekas Ketua Polis Negara (KPN), Musa Hassan.

Tawfiq, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz, disiasat atas dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB.

Musa berkata, polis mempunyai hubungan baik dengan rakan sejawatan di Singapura yang boleh membantu siasatan mereka.

“Walaupun tak boleh masuk sempadan, mereka boleh minta kerjasama daripada polis Singapura,” katanya kepada FMT.


“(Semasa menjadi KPN) Saya dulu selalu minta polis sana bantu kita, tak ada masalah. Saya percaya KPN Singapura boleh bantu.”

Katanya, walaupun polis dibenarkan memasuki Singapura, mereka masih memerlukan kerjasama daripada rakan sejawatan di sana.

“Itu hanyalah alasan untuk kata sempadan tutup. Kita pergi sana pun, apa kuasa kita nak siasat? Kita tetap perlukan kerjasama polis sana.

“Apa kuasa kita nak ambil keterangan di sana? Kita tak ada kuasa di negara orang, melainkan membawa orang itu ke kedutaan kita di sana.”


Selasa lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan polis membuat siasatan lanjut di Singapura, tetapi tidak dapat melengkapkan kertas siasatan kerana sempadan masih ditutup.

Tambahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din kemudian memberitahu FMT, polis sedang menunggu lampu hijau daripada rakan sejawatan di Singapura untuk merentas sempadan bagi meneruskan siasatan mereka.

Mac tahun lalu, polis dilapor memulakan siasatan terhadap dana berkaitan 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun bank milik Tawfiq di Singapura.

Polis Singapura dilaporkan memaklumkan kepada BNM mengenai transaksi mencurigakan pada 2015 dan 2016 membabitkan sebuah syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram