Crackhouse Comedy Club disimbah cat oleh 2 lelaki



Kuala Lumpur: Siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank dan premis berhampiran lokasi kejadian Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang disimbah cat awal pagi tadi mengesan perbuatan itu dilakukan dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata semakan polis terhadap rakaman CCTV itu mendapati dua lelaki menaiki kereta jenis Proton Waja membaling dua plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda Crackhouse Comedy Club.

Menurutnya, sebahagian cat hitam yang dibaling ke restoran Crackhouse Comedy Club itu terkena pada pintu utama Hong Leong Bank yang terletak berhampiran.

"Pengadu yang bekerja di bank tersebut membuat laporan polis hari ini pada jam 10.07 pagi bahawa pintu masuk utama mereka disimbah cat berwarna hitam.


"Kejadian itu disedari berlaku kira-kira jam 8.15 pagi semasa pengadu dan pekerja lain mahu masuk bekerja di Hong Leong Bank, Lorong Rahim Kajai 14, TTDI, di sini.

"Perbuatan khianat membabitkan kerugian kira-kira RM3,000. Tempat kejadian adalah sebuah bank tempatan yang terletak di sebuah rumah kedai tiga tingkat.

"Pihak polis sudah membuat semakan rakaman CCTV di bank berkenaan dan mendapati kejadian berlaku hari ini antara jam 4.15 pagi hingga 5.09 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam pada itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 39 yang juga pemilik Crackhouse Comedy Club membuat laporan polis pada jam 4.56 petang.

"Pengadu menyatakan papan tanda premisnya itu disimbah cat merah manakala lantai pintu utama menuju tangga disimbah cat hitam dengan anggaran kerugian belum dapat dipastikan.


"Rakaman CCTV yang diperoleh akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan analisa pakar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pihak polis menyeru saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan untuk bantu tampil memberikan maklumat.

"Usaha untuk mengesan suspek yang mungkin terbabit masih diteruskan.

"Sebarang maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.


ARTIKEL BERKAITAN:























Join our Telegram Channel
Telegram