Ustaz Kazim terkilan dikaitkan tuduhan rogol remaja bawah umur



Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias, 49, meluahkan perasaan berang apabila dirinya dituduh melakukan amang seksual kepada seorang remaja berumur 14 tahun.

Ia susulan selepas media melaporkan seorang penceramah bebas bergelar ustaz dalam lingkungan usia 30-an ditahan atas pertuduhan merogol remaja perempuan baru-baru ini.

Ekoran ritu, secara tidak langsung ramai dalam kalangan wargamaya telah menimbulkan spekulasi liar dan mula berteka-teki mengenai gerangan suspek berkenaan sehingga nama Ustaz Kazim turut terpalit sama.


Tidak berdiam diri, Ustaz Kazim tampil mempertahankan diri untuk mengelak imejnya terus dicemarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Dalam mereka berteka-teki nak mengetahui gerangan pendakwah terbabit, saya juga terkena tempiasnya.

“Nasib baik umur saya sudah 50-an, malah terdapat nama-nama lain turut disebut-sebut,” ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Kazim turut berkata dia terkilan dengan cara penyampaian segelintir media yang tidak jelas terutamanya melibatkan kes sedemikian kerana difahamkan boleh menimbulkan fitnah.

Ustaz Kazim menerusi ceramahnya telah menegur pihak media untuk berlaku adil kepada semua golongan serta tidak perlu menggantungkan sesuatu laporan.


“Pemberita patut lebih khusus jika ingin menggambarkan si pesalah. Jangan dibiarkan tergantung atau sembrono labelkan dengan gelaran ustaz.

“Sekarang ni zaman orang tunggu masa saja nak hentam ustaz-ustaz. Lebih adil sekiranya gambaran pelaku itu adalah berdasarkan fizikalnya semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut memperingati semua pihak agar tidak terus mudah menjatuhkan hukuman kepada suspek sekiranya masih belum didapati bersalah. – xtra




Join our Telegram Channel
Telegram