Hadi Awang dipanggil ke Bukit Aman



Kuala Lumpur: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil ke Bukit Aman memberi keterangan berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman berkaitan isu rasuah, baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Komisioner A Skandaguru berkata, siasatan dijalankan susulan pihaknya menerima 28 laporan polis ke atas Ahli Parlimen Marang itu berhubung isu berkenaan.

"Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.


"Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat.

"Siasatan masih dijalankan dan polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.

"Kita menyeru orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat," katanya. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram