FIRMAN Allah SWT:
﴿وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ١٨٨﴾
“Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan (atau mengambil) harta (sebahagian orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil (salah dan haram), dan janganlah pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada pihak yang mengendalikan hukuman (pemerintah yang berkuasa dan para hakim), supaya kalian dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan salahnya perbuatan itu).” (Surah al-Baqarah: 188)
Ayat di atas ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي.
“Rasulullah SAW telah melaknat (mengutuk) pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Abu Dawud 3580, al-Tirmizi 1337 dan lain-lain)
Kita banyak membaca dan mendengar laporan dalam senarai panjang mereka yang telah dihukum menerima rasuah, termasuk mereka yang masih dalam tuduhan yang belum dibuktikan tetapi telah dihukum oleh media sebelum proses kehakiman diselesaikan. Ada juga kalangan mereka yang nasibnya menjadi kambing hitam yang disembelih menjadi korban atau yang menjadi proksi kepada penyangak yang sebenarnya bersembunyi melakukan rasuah yang lebih besar jumlahnya sehingga berlipat kali ganda.
Adapun dalam kalangan yang memberi rasuah itu pula tidak kelihatan, mungkin senarainya lebih panjang dan jumlahnya lebih ramai. Ayat al-Quran dan hadis yang dinyatakan di atas mendahulukan laknat terhadap sesiapa yang memberi rasuah. Barangkali kalangan inilah yang paling besar menguasai ekonomi negara dan mempengaruhi politiknya dengan cara yang haram.
Malah, ada yang terlibat dengan projek yang dinamakan Ali Baba bersama penyamun hasil negara yang dicuri atau dibocorkan. Pada masa yang sama, mereka juga pelaksana projek yang gagal atau runtuh setelah selesai dibina. Termasuklah bertindak membocorkan peruntukan sehingga tidak sampai ke sasarannya, khususnya kepada rakyat yang menderita kemiskinan yang tidak dapat diselesaikan dan sentiasa bertambah jumlahnya.
Selain itu, ada dalam kalangan yang membiayai politik wang bagi mengangkat sesiapa yang tidak layak menjadi pemimpin kerana jahil atau fasiq. Oleh yang demikian, disebabkan pemimpin sedemikian rupa boleh dipergunakan selepasnya, amalan khianat yang paling bahaya kerana menjadi sumber segala penyelewengan dan kezaliman.
Perangai Bani Isra’il sebagai kaum yang dimurkai Allah SWT itu diceritakan oleh-Nya dalam al-Quran, sebagaimana firman-Nya:
﴿وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ٢٤٧﴾
“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi raja kalian.’ Mereka menjawab: ‘Bagaimana Talut berkuasa untuk memerintah kami, sedang kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberikan kekayaan harta yang cukup banyak?’ Nabi mereka berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kalian, dan telah mengurniakan kepadanya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.’ Dan (ingatlah), Allah jua yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 247)
Memilih orang yang tidak layak menjadi pemimpin merupakan suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan dunia. Hal ini telah dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW:
إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.
“Apabila amanah itu sudah hilang, maka tunggulah datangnya kiamat.”
Lalu ditanya:
كَيْفَ إِضَاعَتُهَا ؟
“Bagaimanakah amanah itu hilang?”
Sabdanya:
إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ، فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.
“Apabila diserahkan urusan (memimpin umat) kepada orang yang tidak layak (tiada keahliannya), maka tunggulah datangnya kiamat (kehancuran alam).” (Riwayat al-Bukhari 59)
Golongan yang mengamalkan politik wang tidak akan memilih para pemimpin dan pentadbir yang berintegriti. Sifat integriti itu hanya terdapat pada kalangan mereka yang beriman dan budiman bukan sekadar mempunyai ilmu sahaja, malah kini mereka yang memiliki sijil atau ijazah pun boleh terlibat dengan rasuah.
Semua ciri-ciri itu tidak berupaya kerana dipenuhi oleh ideologi ciptaan manusia yang tidak kebal dalam menghadapi penyakit seperti rasuah.
Semua pihak yang ada kaitan dengan penyelewengan rasuah adalah berdosa besar. Bukan sahaja penerima rasuah termasuklah pemberi rasuah yang memulakannya juga berdosa besar dan bersalah.
Bahkan, semua pihak yang mempunyai kaitan dengan perbuatan tersebut turut bersalah dan sama-sama berdosa besar. Oleh itu, sepatutnya semua golongan yang terlibat dengan rasuah mestilah dihapuskan.
Saya pernah membuat satu perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah penyakit denggi. Hal ini disebabkan mencegah denggi bukan sekadar merawat pesakit dan membunuh nyamuknya, tetapi hendaklah juga bertindak terhadap takungan air yang membiakkan nyamuk. Pada masa yang sama, bertindak terhadap manusia yang tidak menjaga kebersihan.
Begitulah juga dengan usaha menangani penyakit rasuah, ia wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya. Khususnya, terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.
Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman. Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera.
Islam mendidik para penganutnya bahawa harta haram itu bukan sahaja berdosa kepada semua yang digunakan olehnya, sehinggakan menjadi umpan neraka yang membakar dirinya. Selain itu, harta haram juga tidak membawa apa-apa berkat, satu perkataan yang tiada dalam kamus bahasa lain selain daripada bahasa al-Quran.
Hal ini bermaksud tiada kebaikan dunia bagi diri, keluarga, masyarakat dan negara yang tersentuh dengannya, hanya sekadar menjadi hiasan dan pemuas nafsu. Selepas itu, hanya menjadi sampah, besi buruk yang hancur lebur, atau menjadi najis daripada isi perut yang menjadikan jasadnya lebih hina daripada najis itu.
Kelak, di akhirat juga menjadi bahan bakar api neraka yang membakar diri sekiranya tidak bertaubat atau tidak dihukum dengan adil ketika hidup di alam dunia.
Ketahanan diri untuk menolak kemungkaran besar itu dapat dihasilkan oleh iman dan taqwa yang dijanjikan keberkatan oleh Allah SWT, tanpanya hanyalah membawa kecelakaan. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ٩٩﴾
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-ruah berkatnya, dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96); Patutkah penduduk negeri itu (merasa sedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri itu (merasa sedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99)” (Surah al-A‘raf: 96-99)
Allah SWT juga menyenaraikan contoh golongan mereka yang dibinasakan kerana dosa yang masing-masing lakukan, sebagaimana firman-Nya:
﴿وَقَٰرُونَ وَفِرۡعَوۡنَ وَهَٰمَٰنَۖ وَلَقَدۡ جَآءَهُم مُّوسَىٰ بِٱلۡبَيِّنَٰتِ فَٱسۡتَكۡبَرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَمَا كَانُواْ سَٰبِقِينَ٣٩ فَكُلًّا أَخَذۡنَا بِذَنۢبِهِۦۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ أَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِ حَاصِبٗا وَمِنۡهُم مَّنۡ أَخَذَتۡهُ ٱلصَّيۡحَةُ وَمِنۡهُم مَّنۡ خَسَفۡنَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ وَمِنۡهُم مَّنۡ أَغۡرَقۡنَاۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظۡلِمَهُمۡ وَلَٰكِن كَانُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ يَظۡلِمُونَ٤٠﴾
“Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan sesungguhnya, Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (daripada azab Allah). (39); Maka, masing-masing (mereka itu) Kami binasakan disebabkan dosanya, maka antara mereka ada yang Kami timpakan hujan batu kerikil; dan ada yang dibinasakan dengan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami benamkan ke dalam bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. (40)” (Surah al-‘Ankabut: 39-40)
Firaun ialah seorang raja yang berkuasa mutlak dengan memerintah kerajaan Mesir Purba, manakala Haman pula ialah seorang Perdana Menteri yang menguruskan pemerintahannya yang zalim. Adapun Qarun seorang hartawan berbangsa Yahudi yang mengumpulkan harta haram.
Islam menegaskan semua kemungkaran yang berlaku itu wajib dicegah. Amalan rasuah ialah kemungkaran yang menjadikan seseorang itu berdosa besar, sama ada pemberi, penerima dan orang tengah yang terlibat dengan amalan rasuah.
Apabila semua golongan tersebut dilaknat oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, maka semuanya wajib dihapuskan.
Allah SWT juga memerintahkan umat Islam supaya menjadi contoh kepada seluruh manusia dalam mengerjakan kebajikan dan mencegah kemungkaran. Hal ini disebutkan oleh firman-Nya:
﴿كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ١١٠﴾
“Kalian (wahai umat Muhammad) ialah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kalian menyuruh berbuat segala perkara yang ma‘ruf dan melarang daripada melakukan segala perkara yang mungkar (buruk dan keji), serta kalian pula beriman kepada Allah (dengan keimanan yang sebenar). Dan sekiranya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Akan tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq.” (Surah Ali ‘Imran: 110)
Pendekatan melindungi pemberi maklumat kepada pemberi rasuah merupakan suatu pendekatan undang-undang Barat versi Ahli Kitab yang tidak mempunyai roh dosa dan pahala.
Begitu juga, dengan hukuman penjara mengikut darjat dan denda yang masih boleh dibayar oleh pelaku rasuah dan dikira masih ada untungnya juga apabila keluar penjara nanti. Pendekatan sedemikian ialah suatu cara ciptaan manusia yang dipengaruhi oleh undang-undang Barat yang tidak mempunyai roh dan pencegahan yang berkesan kerana tidak mempunyai kehebatannya. Undang-undangnya pula bertindak secara tidak sempurna dan tidak menyeluruh.
Amalan rasuah merebak dalam kalangan Ahli Kitab, berdasarkan firman Allah SWT:
﴿سَمَّٰعُونَ لِلۡكَذِبِ أَكَّٰلُونَ لِلسُّحۡتِۚ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيۡٔٗاۖ وَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٤٢ وَكَيۡفَ يُحَكِّمُونَكَ وَعِندَهُمُ ٱلتَّوۡرَىٰةُ فِيهَا حُكۡمُ ٱللَّهِ ثُمَّ يَتَوَلَّوۡنَ مِنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَۚ وَمَآ أُوْلَٰٓئِكَ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٤٣﴾
“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta dan sangat suka memakan segala perkara yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu. jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah daripada mereka; dan jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat ke atasmu sedikit pun; dan jika kamu menghukum sesuatu perkara, maka hukumlah (perkara itu) antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (42); Dan (sungguh menghairankan), bagaimanakah mereka meminta suatu keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka sesudah itu berpaling pula (daripada hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman. (43)” (Surah al-Ma’idah: 42-43)
Kitab Allah ditinggalkan, kemudian berita bohong menjadi kepercayaan dan amalan rasuah mulai menjadi kebiasaan. Sifat Yahudi Zionis yang mempengaruhi masyarakat Barat terkini itu mempengaruhi kita ketika berada pada zaman penjajahannya dahulu. Keadaan tersebut masih berterusan walaupun selepas kemerdekaan dikecapi, apabila penjajah sudah keluar tetapi perangainya masih wujud.
Syariat Islam menetapkan hukuman takzir terhadap kesalahan rasuah dan semua yang berkaitan dengannya. Takzir ialah suatu hukuman mengikut budi bicara dan kebijaksanaan pihak yang berkuasa.
Suatu bentuk hukuman yang setimpal dengan kadar kesalahannya dijatuhkan, supaya ia dapat menakutkan dan mendidik semua pihak termasuk masyarakat umum, bukan sahaja golongan penjenayah. Khususnya, hukuman terhadap penyakit rasuah yang boleh merebak daripada peringkat paling tinggi sehingga peringkat serendah-rendahnya, termasuklah dalam kalangan rakyat biasa apabila wabak rasuah itu sudah menjadi pandemik.
Syariat Islam berbeza dengan undang-undang dan pendekatan ciptaan akal manusia. Hal ini demikian kerana, Islam berprinsipkan aqidah yang mempercayai kepada perkara yang ghaib, bukan sahaja perkara yang nyata.
Teori ciptaan manusia menjadikan kebanyakan manusia yang berpura-pura, termasuk yang membuat kenyataan yang berdegar-degar menentang rasuah juga paling banyak melakukan rasuah secara proksi atau menggunakan khidmat kambing hitam yang menjadi pilihan untuk disembelih. Hal ini menjadikan tindakan yang diambil itu tidak memberikan apa-apa faedah, sekalipun ketika mereka sendiri mendapat peluang berkuasa.
Kerajaan negeri yang dikuasai oleh PAS di Terengganu suatu ketika dahulu pernah menubuhkan sebuah institusi hisbah, iaitu sebuah institusi yang pernah memainkan peranan penting dalam negara Islam sepanjang sejarah keemasannya. Hisbah ialah institusi yang menjaga dan mengawasi kemaslahatan umum masyarakat Islam berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang menyeluruh, termasuk dalam kegiatan politik, sosial dan ekonomi.
Dalam pada itu, hisbah itu diwujudkan bagi menangani masalah rasuah yang berjaya di atasi oleh pemerintah Islam dalam perjalanan sejarahnya. Peranan menubuhkan sebuah institusi hisbah itu ditugaskan kepada Almarhum Tun Salleh Abbas yang mengepalai pasukannya.
Malangnya, usaha yang dilaksanakan itu terhalang oleh bidang kuasa kerajaan negeri yang tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan. Keadaan ini berpunca daripada terdapat masih banyak kelemahan warisan zaman penjajah yang belum dibatalkan.
Negara yang gagal menangani rasuah tidak akan mencapai kemajuan, walaupun banyak hasil pendapatannya dan tinggi bangunannya. Hal ini demikian kerana, Allah SWT tidak memberi keberkatan kepada golongan yang mengizinkan kemungkaran menjadi wabak dalam negaranya. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ١٤﴾
“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah berbuat terhadap kaum ‘Ad (yang kufur derhaka). (6); Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7); Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) sepertinya di negeri-negeri lain (pada zaman itu. (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi al-Qura iaitu tempat tinggalnya). (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai pasak-pasak (tentera yang ramai). (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah berbuat sewenang-wenangnya dalam negeri. (11); Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12); Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab. (13); Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” (Surah al-Fajr: 6-14)
Semua yang disebutkan dalam ayat di atas merupakan suatu keadaan yang sangat bertamadun dari segi teknologi dan kebendaannya. Sehinggakan, bangunan yang tinggi dan besar dapat disaksikan sehingga kini menjadi tatapan sejarah yang dijaga oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan bangganya.
Namun, tidak didedahkan betapa pembangunan itu dilakukan dengan harta haram dan kezaliman yang mengorbankan rakyat. Sehingga menjatuhkan kuasa besar pada zamannya dan sekali gus mengulangi kejatuhan negara pada zaman kini.
Allah SWT menghapuskan kesan sejarah kerajaan Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan Raja Zulqarnain yang beriman, berakhlak dan adil, kerana keberkatan adil dan bersihnya. Malah, mereka bersyukur kepada Allah SWT dan dipuji dalam al-Quran. Semuanya menjadi ujian kepada manusia, sebagaimana yang dinyatakan oleh firman-Nya:
﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾
“Maha Berkat (serta Maha Tinggi kelebihan) Tuhan yang menguasai segala kerajaan; dan memanglah Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kalian) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kalian: siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)
Ini menunjukkan bahawa semua manusia diuji bersama kerajaan dan para pemimpin di alam dunia. Bahkan, menunjukkan bahawa urusan politik juga termasuk dalam perkara yang pasti akan dihisab amalannya pada Hari Kiamat kelak. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:
﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾
“(Ingatlah) pada hari (Hari Kiamat) Kami menyeru tiap-tiap umat manusia dengan pemimpin mereka; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak akan dianiayai sedikit pun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka ia juga akan buta di akhirat dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)
Selamatkan negara daripada pengkhianat dan penipu, maka akan sejahteralah Malaysia dan seluruh rakyatnya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Muharram 1444 / 20 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 20/8/2022ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel