Siasatan kes hakim Nazlan: SPRM, AGC perlu beritahu perkara benar, kata Zaid



PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk “tampil ke depan untuk memberitahu kebenaran” berhubung siasatan dilakukan agensi anti-rasuah itu berhubung siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali.

Katanya, beliau runsing dengan kenyataan Peguam Negara Idrus Harun yang menyatakan kertas siasatan SPRM tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara, sambil menyifatkan maklum balasnya kepada media sebagai “tiada jawapan”.

Zaid juga mendesak SPRM menjelaskan sama ada salinan laporan yang dikatakan bocor berhubung siasatan terhadap Nazlan ada kesahihannya.

“Ia terpulang kepada SPRM sekarang untuk mengesah atau menafikan kesahihan itu (dokumen bocor). Ia juga terpulang kepada peguam negara supaya bercakap benar, tiada apa-apa yang tidak benar melainkan yang benar belaka.


“Saya juga ingin mengetahui apa kata benteng besar keadilan, Majlis Peguam, berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

“Semua orang perlu menghormati dan menegakkan undang-undang dan bukan melanggarnya,” katanya.

Hari ini, Idrus berkata kertas siasatan berhubung kes Nazlan dilakukan SPRM tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Justeru, beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang dikatakan kertas siasatan SPRM yang kononnya bocor membabitkan hakim Mahkamah Rayuan itu.

“Tidak berada dengan kami (kertas siasatan). Saya tidak tahu. Ia tidak berada dengan kami,” katanya ketika ditanya berhubung kesahihan dokumen yang dikatakan bocor itu selepas menghadiri majlis simposium Keluarga Malaysia.


Awal minggu ini, blogger berpangkalan di United Kingdom, memuat naik dokumen yang didakwa disediakan SPRM. Dokumen berkenaan mencadangkan SPRM sudah menyelesaikan siasatan terhadap Nazlan dan menghantar laporan kepada Jabatan Peguam Negara.

Ia sekali gus mencetuskan reaksi daripada Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, yang mendesak SPRM mengesahkan kesahihan dokumen terbabit. Ahli Parlimen Pontian itu juga mahu Jabatan Peguam Negara mengumumkan sama ada mereka akan melakukan tindakan susulan berhubung siasatan dibuat SPRM.

Ahmad merujuk pada 21 Mei, bahawa SPRM dilaporkan, berkata agensi itu sudah selesai menyiasat hakim Mahkamah Rayuan berkenaan dan menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

Kenyataannya itu seperti mencadangkan ada kaitan antara dapatan siasatan dan dakwaan konflik kepentingan dibangkitkan Najib Razak dalam permohonan difailkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan akhir kes SRC International dihadapi bekas perdana menteri itu..

Nazlan, yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan, pada Februari, merupakan hakim yang mempengerusikan perbicaraan kes SRC Najib di Mahkamah Tinggi dan menjatuhi Ahli Parlimen Pekan berkenaan 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.


Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib mengemukakan keterangan baharu untuk membuktikan Nazlan berada pada kedudukan serius konflik kepentingan ketika mempengerusikan prosiding perbicaraan SRC, dua tahun lalu.

Firma guaman Zaid, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, dilepaskan daripada mewakili Najib bagi rayuan pada Jumaat, sebulan selepas dilantik menggantikan bekas perdana menteri itu daripada Tetuan Shafee & Co, bulan lalu.

Pada Selasa, pihak pembelaan memohon “tiga ke empat bulan” untuk mereka menyediakan kes, namun ia ditolak mahkamah atas alasan pendengaran perlu berlangsung. Ketua pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon melepaskan dirinya daripada terus mewakili Najib, namun ditolak Mahkamah Persekutuan. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram