Kertas siasatan Hakim Nazlan berada di tangan SPRM semula



PUTRAJAYA – Kertas siasatan kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kini berada di tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan semula kepada pihaknya dari Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan-tindakan lanjut.

Menurut beliau, kertas siasatan mengenai kes itu kini berada di pejabatnya sebelum ia ditentukan pada satu masa kelak atas arahan Peguam Negara.


“Mungkin jawapan yang diberikan oleh Tan Sri Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) adalah ringkas, beliau mungkin bermaksud tidak ada lagi di tangan beliau.

“Namun demikian kertas siasatan itu sebenarnya telah kita kemukakan kepada beliau dan diberikan kepada kita balik, kemudian diberi kepada beliau balik dan hantar balik kepada kami untuk tindakan-tindakan lanjut.

“Kertas siasatan ini pun masih lagi dengan kami setelah diberikan oleh pihak beliau, kita akan menunggu arahan lanjut kemudian untuk dibuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Istiadat Konvokesyen MACC Law Enforcement Accredited Programme di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.


Pada 21 Ogos, media tempatan melaporkan bahawa kertas siasatan kes membabitkan Mohd. Nazlan tidak lagi berada dengan AGC.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun ketika ditemui pada Simposium Keluarga Malaysia di PICC.

SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd. Nazlan. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram