SPRM perlu sah atau nafikan laporan kertas siasatan terhadap Nazlan



KUALA LUMPUR: UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan atau mengesahkan ketulenan dokumen tular yang didakwa kertas siasatan berhubung bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata dokumen yang tular itu antara lain mendakwa wujud kesalahan mengikut Seksyen 220 Kanun Keseksaan membabitkan Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau menegaskan, penjelasan itu penting memandangkan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti bagi memeriksa percanggahan kepentingan Mohd Nazlan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Selain itu, katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah menerima kertas siasatan kes Mohd Nazlan sejak tiga bulan lalu, selaras kenyataan SPRM pada 21 Mei yang mengesahkan siasatan itu sudah selesai dan diserahkan kepada AGC.


"Satu dokumen didakwa kertas siasatan itu yang dikatakan terbocor telah menjadi tular pada waktu ini. Kertas itu mendakwa ada berlakunya kesalahan mengikut Seksyen 220 Kanun Keseksaan.

"UMNO berpandangan SPRM perlu mengesahkan atau menafikan keabsahan kertas siasatan itu yang sudah tular. AGC juga perlu mengumumkan sekiranya akan ada tindakan lanjut bagi kertas siasatan berkenaan.

"Integriti institusi yang kita hormati perlu dilindungi dan UMNO amat berharap SPRM dan AGC akan menjelaskan kepada rakyat mengenai isu ini dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dokumen tular yang didakwa sebagai kertas siasatan itu, antara lain merumuskan terdapat pelanggaran etika kehakiman mengikut Warta Kerajaan 25 Jun 2009 berkaitan Kod Etika Hakim 2009.

Pelanggaran etika itu jika Mohd Nazlan gagal mengisytiharkan kepentingannya semasa menjalankan tugas sebagai hakim yang mendengar perbicaraan Najib.


Perkara 8 dalam Kod Etika Hakim 2009 antara lain memperuntukkan seseorang hakim perlu mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman ketika menjalankan aktiviti luar.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan Mohd Nazlan menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap Najib.

Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta denda RM210 juta pada 28 Julai 2020. – Bharian


KENYATAAN MEDIA

1. Mengikut kenyataan rasmi bertarikh 21 Mei 2022, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa siasatan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah diselesaikan dan diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut pada 18 Mei 2022 lalu.

2. Satu dokumen yang didakwa merupakan kertas siasatan tersebut yang dikatakan terbocor telah menjadi tular pada waktu ini. Kertas tersebut mendakwa ada berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan.

3. Memandangkan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC telah menolak permohonan Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak untuk memasukkan bukti dokumen bagi memeriksa percanggahan kepentingan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan memandangkan kertas siasatan sudah berada di pihak Jabatan Peguam Negara sejak 3 bulan lalu, UMNO berpandangan:

a) Pihak SPRM perlu mengesahkan atau menafikan keabsahan kertas siasatan tersebut yang sudah tular.

b) Pihak Jabatan Peguam Negara perlu mengumumkan sekiranya akan ada tindakan lanjut bagi kertas siasatan tersebut.

4. Integriti institusi yang kita hormati perlu dilindungi dan UMNO amat berharap pihak SPRM dan pihak Jabatan Peguam Negara akan menjelaskan kepada rakyat mengenai isu ini dalam masa terdekat.

DATUK SERI AHMAD MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO
18 OGOS 2022





ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram