Siasat Rizal jika lakukan kesalahan lain, Kadir beritahu pihak berkuasa



PETALING JAYA: Wartawan veteran, A Kadir Jasin menggesa pihak berkuasa menyiasat Rizal Mansor jika pernah melakukan kesalahan lain, selepas bekas pembantu Rosmah Mansor itu dilepas dan dibebaskan daripada empat tuduhan berhubung projek solar sekolah luar bandar Sarawak pada 2020.

Katanya, tidak adil untuk individu yang bersubahat atau terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa, terlepas daripada hukuman selepas bertukar daripada tertuduh menjadi saksi pendakwaan.

“Boleh jadi pihak peguam negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menyiasat semula watak-watak seperti Rizal ini dengan kesalahan-kesalahan lain, dengan tujuan mendakwa mereka di mahkamah atau merampas aset yang diperoleh melalui wang atau kegiatan haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizal pada mulanya didakwa atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM5.5 juta untuk dirinya dan Rosmah, berhubung projek solar sekolah luar bandar di Sarawak pada November 2018.


Bagaimanapun, pada 8 Jan 2020, mahkamah melepas dan membebaskan Rizal, selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan dia kemudian menjadi saksi pendakwaan.

Rosmah, 70, didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui Rizal, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek berkenaan.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, selain dikatakan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Pada 1 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek yang bernilai RM1.25 bilion itu.

Kadir memetik ungkapan bahasa Inggeris “honour among thieves” yang bermaksud pencuri pun saling hormat-menghormati dan tidak melakukan jenayah ke atas satu sama lain.


“Bila kena tangkap dan untuk selamatkan diri, mereka cerita habis. Macam bekas pegawai khas Rosmah, Rizal, berpaling tadah jadi saksi pendakwaan kes rasuah projek solar sekolah luar bandar Sarawak. Banyaklah rahsia Rosmah didedahkan sehingga sabit kesalahan.”

Beliau berkata, ketika Rosmah menjadi “First Lady of Malaysia”, Rizal berlagak lebih sudu daripada kuah.

“Dia pertahan Rosmah dengan mulut dan duit. Siapa saja yang kritik ‘lady boss’, dia akan diserang habis-habisan. Yang puji dibagi upahan.

“Dia ada peruntukan kewangan untuk upah ‘cybertroopers’ (laskar siber) pertahan Rosmah dan serang siapa saja yang bercakap buruk mengenai bosnya itu. Malah, dalam mahkamah, dia dedah siapa kepala-kepala laskar siber Rosmah.” – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram