Tiada seorang pemimpin UMNO hadir muktamar PAS – Takiyuddin



ALOR SETAR: Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengesahkan tiada pemimpin Umno hadir pada Muktamar PAS ke-68 di Kedah walaupun sudah diundang.

Beliau berkata undangan itu sudah diedarkan kepada semua peringkat pimpinan parti dari presiden hingga majlis kerja tertinggi termasuk pimpinan Umno di Kedah, namun tidak berbalas.

“Kita sahkan kita undang semua pimpinan Umno dari presiden hingga MKT tetapi tidak dijawab. Tidak adil lah, (undangan) termasuk juga pimpinan Umno di Kedah diundang,” katanya pada sidang media selepas perasmian Muktamar PAS ke-68.


Kelibat pemimpin Umno tidak kelihatan pada perhimpunan terpenting PAS pada kali ini, selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat penampilan pertama ke Muktamar PAS ke-64 di Terengganu pada 2018.

Langkah Zahid dalam muktamar itu meleraikan persengketaan antara Umno dan PAS yang berseteru lebih 60 tahun.

Sementara itu, Presiden Abdul Hadi Awang mengesahkan sehingga kini tiada sebarang pertemuan antara PAS dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menetapkan tarikh pilihan raya umum.


“Sehingga kini tiada, sepatutnya dia (PM) panggil bincang sebab kita dalam kerajaan, sehingga kini tiada,” katanya.

Beliau berkata Jemaah Menteri hari ini bukan ditadbir Umno tetapi kerajaan campuran dibentuk beberapa parti, justeru keputusan untuk mengadakan PRU perlu mendapat persetujuan bersama.

“Jadi PM tak boleh sebarangan nak buat PRU,” katanya. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram