Bersatu mohon batal pembekuan akaun, tiada duit bayar gaji



KUALA LUMPUR: Bersatu akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon pembekuan akaunnya dibatalkan, kata Presiden Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, SPRM perlu membatalkan pembekuan serta-merta jika tidak menemui sebarang bentuk penyelewengan atau salah guna kuasa semasa menyemak akaun parti itu.

“Ini adalah penting supaya pentadbiran Bersatu dapat berjalan secara lancar termasuk pembayaran gaji pekerja dan lain-lain komitmen Bersatu dapat dilunaskan mengikut jadual,” katanya dalam sidang media selepas program pemukiman Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Tamu Hotel.


Kelmarin, FMT melaporkan sumber parti mengesahkan akaun Bersatu dibekukan SPRM mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu ada kaitan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.

Sementara itu, Muhyiddin berkata pihaknya memerlukan dana itu bagi membiayai perjalanan kempen pilihan raya di enam negeri, tidak lama lagi.

“Jangan pembekuan ini jadi motif sebenar kerajaan melumpuhkan jentera Bersatu dan PN di PRN akan datang.


“Kalau langkah begini diambil, ia dapat menghalang usaha kita untuk terlibat dalam aktiviti PRN,” katanya sambil menambah Bersatu akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM melengkapkan siasatan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan mengesahkan pihaknya membekukan akaun Bersatu dengan siasatan berterusan dan saksi akan dipanggil.

Disember lalu, SPRM mengesahkan menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara dianggar hampir RM600 bilion. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram