‘Tiada parti boleh hidup sendiri, semua terima duit’, kata PAS



PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata tiada parti mampu hidup sendiri malah semua parti politik menerima sumbangan wang.

Pengakuan itu menyusul ketika Bersatu, rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) disiasat kerana dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana kerajaan RM92.5 bilion.

Justeru, timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, SPRM yang sedang menyiasat akaun milik Bersatu, seharusnya berbuat demikian terhadap semua parti politik.


“Kalau bercakap soal duit, semua parti menerima sumbangan. Tiada parti yang boleh hidup dengan sendiri.

“Jadi kalau nak siasat, siasat semua dan sekiranya terdapat salah laku, boleh ambil tindakan,” katanya menurut Berita Harian.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan akaun Bersatu dibekukan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Difahamkan, pembekuan akaun itu berkaitan siasatan dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.


Pada 3 Feb, Marzuki Mohamad yang juga bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, menuntut SPRM melakukan siasatan terhadap perbelanjaan pilihan raya oleh PKR dan DAP, yang didakwanya berjumlah “beratus juta”

Mengulas lanjut, Amar berkata parti itu terbuka dan sedia bekerjasama jika SPRM mahu menyiasat akaun parti berkenaan.

Bagaimanapun katanya, ia menjadi sukar buat parti tertentu sekiranya akaun dibekukan memandangkan PRN semakin hampir.

“Apa yang saya lihat, kerajaan hari ini seolah-olah mahu membalas dendam terhadap PN,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram