Lagi akaun dibekukan, pemimpin kanan Bersatu dipanggil libatkan RM260 juta?



PETALING JAYA: Penelitian jejak wang membabitkan baki RM260 juta yang disyaki dibelanjakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kempen politiknya, mungkin membawa kepada satu lagi akaun parti politik akan dibekukan. 

BERSATU didakwa membelanjakan baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber, siasatan SPRM kini difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan itu.

Ia termasuk kemungkinan ia diberikan kepada pemimpin parti-parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai kegunaan lain.


Sumber berkata, sebahagian daripada dana RM300 juta tersebut dipercayai dimasukkan oleh syarikat-syarikat atau kontraktor ke dalam akaun Bersatu ketika tempoh pemerintahan PN sejak 2020 hingga tahun lalu.

“Siasatan SPRM kini menjurus kepada aliran wang berkenaan sepanjang tempoh tiga tahun itu. Adakah ia digunakan sebagai kegunaan parti atau individu tertentu.

“Dua akaun bernilai RM40 juta milik Bersatu mungkin akan dibekukan dalam tempoh tiga bulan sehingga setahun bergantung kepada hasil siasatan SPRM. Setakat ini, akaun itu telah dibekukan sejak dua hingga tiga minggu lalu,” katanya.

Sehubungan isu tersebut, sumber berkata, beberapa ahli Bersatu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.


“Terbaharu esok (hari ini) SPRM mungkin akan memanggil seorang lagi pemimpin kanan Bersatu untuk dirakam percakapan. Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan tindakan itu,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi menegaskan, agensi itu akan memanggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan nama-nama individu yang akan dipanggil selain tidak mahu memberi komen lanjut dengan alasan siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut.

Kelmarin, SPRM membeku akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.


Pembekuan itu dilakukan apabila Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang yang dipercayai daripada dana kerajaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, semakan dalam akaun yang dibekukan hanya menemukan wang RM40 juta manakala bakinya RM260 juta masih dijejaki.

Pembekuan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian yang beliau tidak akan bertolak ansur dengan gejala rasuah dan penyelewengan di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram