Setakat ini, belum terima rayuan daripada mana-mana pihak – Zahid



Putrajaya: Umno sedia mempertimbangkan rayuan dikemuka ahli dan pemimpinnya yang digantung sebelum ini atas kesalahan melanggar disiplin parti.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rayuan itu bagaimanapun perlu diteliti Lembaga Disiplin parti, sebelum sebarang keputusan sama ada rayuan diterima atau ditolak diputuskan.

Beliau berkata, setakat ini, parti juga belum menerima sebarang rayuan daripada mereka yang digantung termasuk bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Ketua Umno Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang.


"Setakat ini, saya belum terima apa-apa surat rayuan daripada mana-mana pihak. Saya akan terima tapi biarkan Lembaga Disiplin untuk teliti," katanya pada sidang media selepas hadir Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari KKDW di sini, hari ini.

Beliau ditanya pendirian Umno Johor yang mahu Hishammuddin dan Maulizan mengemukakan rayuan dan membela diri terhadap pertuduhan serta sabitan yang dikenakan terhadap mereka.

Pengerusi Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bagaimanpun berkata, tindakan disiplin dan penggantungan itu tidak akan menjejaskan Umno Johor berikutan beberapa pimpinan parti berkenaan di negeri itu sebelum ini pernah berdepan tindakan sama.


Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan menggantung keahlian selama enam tahun terhadap Hishammuddin dan Maulizan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, selain memecat lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram