Pembebasan Najib akan menguntungkan kerajaan perpaduan, kata penganalisis



PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik percaya kerajaan perpaduan akan mendapat manfaat jika bekas perdana menteri Najib Razak mendapat pengampunan diraja.

“Realitinya, Najib masih sangat berpengaruh dan popular terutama dalam kalangan orang Melayu. Saya malah boleh kata Najib lebih popular daripada Umno,” Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir.

“Jika kerajaan perpaduan memerlukan sokongan orang Melayu, mereka tidak boleh mengabaikan faktor Najib,” katanya kepada FMT, mengulas beberapa tinjauan pendapat yang dijalankan mengenai sama ada Najib patut diberi pengampunan diraja.


Satu petisyen, oleh badan pemantau pilihan raya Bersih, mengumpul lebih 150,000 tandatangan menggesa Yang di-Pertuan Agong supaya tidak memberikan Najib pengampunan.

Petisyen lain yang menyokong Agong memberikan pengampunan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu pula mengumpul antara 19,000 dan 35,000 tandatangan.

Jeniri berkata, beliau percaya kerajaan perpaduan akan mendapat lebih banyak manfaat dengan menggunakan populariti Najib berbanding kehilangannya.

“Terutama dalam kalangan orang Melayu, beliau sangat disenangi dan tidak memecahbelahkan seperti Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.


“Dalam kes bukan Melayu dan penduduk bandar yang membentuk sebahagian besar penyokong Pakatan Harapan (PH), saya tak jangka mereka akan meninggalkan PH kerana alternatifnya adalah mengundi PAS dan Bersatu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, beliau percaya imej kerajaan perpaduan akan terjejas jika Najib diberi pengampunan diraja.

“Hasil tinjauan pendapat menunjukkan bahawa bilangan mereka yang tidak menyokong pembebasan Najib jauh mengatasi mereka yang menyokongnya.

“Tanggapan bahawa Najib popular dalam kalangan akar umbi tidak mengambil kira majoriti senyap,” katanya kepada FMT, sambil menambah imej Anwar juga akan terjejas.


Ahmad Fauzi berkata, Umno perlu melakukan pembaharuan dari dalam manakala kerajaan perlu meneruskan pembinaan negara dan reformasi institusi.

“Umno tidak boleh terus menjadi titik kelemahan kerajaan perpaduan,” katanya.

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Karim adalah antara pihak yang memberikan amaran kepada kerajaan bahawa PH akan ditolak dalam enam PRN akan datang jika Najib dibebaskan. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram