Rakyat tidak tolak Kerajaan Perpaduan jika Najib diampunkan – Sian See



KUALA LUMPUR – Penganalis politik, Lim Sian See percaya bahawa rakyat tidak akan menolak Kerajaan Perpaduan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikurniakan pengampunan diraja.

Menurut beliau, perkara yang sebaliknya dapat dilihat apabila Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (Melaka) dan Johor walaupun ketika itu Najib telah didapati bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd.

“Mereka sepatutnya bertanya diri sendiri sama ada penyokong Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada bukan Melayu dan Melayu bandar akan meninggalkan PH dan menyokong Perikatan Nasional (PN) – Pas dalam beberapa PRN akan datang kerana mereka tidak gembira apabila Najib diberi pengampunan” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.


Sian See turut menyangkal dakwaan kononnya pelabur asing tidak akan datang ke negara ini sekiranya Najib diampunkan.

Beliau mengingatkan bahawa pelaburan asing, pasaran saham dan pertumbuhan ekonomi negara mencapai tahap tertinggi ketika Najib menjadi Perdana Menteri dahulu.

Sian See juga menyifatkan tanggapan bahawa negara ini dan generasi akan datang terjejas teruk akibat kerugian yang dialami akibat kehilangan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau memberitahu, seperti yang dijelaskan oleh kerajaan di Parlimen baru-baru ini, Malaysia telah menerima semula semua wang yang didakwa hilang daripada 1MDB.


“Pada 2012, 1MDB memainkan peranan dalam menyelesaikan perjanjian syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) yang berat sebelah peninggalan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyebabkan negara mengalami kerugian RM16 bilion setahun.

“Selain itu, aset-aset 1MDB seperti projek Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia serta tanah di Pulau Pinang dan Pulau Indah akan menjana keuntungan bersih sekitar RM50 bilion selepas baki pinjaman 1MDB berjumlah RM5 bilion dilunaskan pada penghujung 2039,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Sian See, generasi akan datang tidak terjejas akibat 1MDB namun sebaliknya, mereka beroleh manfaat yang besar. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram