Umno mohon Agong beri pengampunan penuh pada Najib



Umno akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh kepada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa berdasarkan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi pengampunan penuh kepada Najib berdasarkan ihsan baginda.

"Majlis Kerja Tertinggi (MKT) merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan kerendahan diri memohon ihsan ke bawah Duli Tuanku untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.”

"Justeru  MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beserta dengan memorandum yang ditandatangani oleh seluruh kepimpinan Umno daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap-sayap pergerakan Pemuda dan Puteri Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ini selepas mahkamah persekutuan Jumaat lalu menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak semula sabitannya, termasuk hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International RM42 juta.

Daripada lima hakim yang bersidang, hanya Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli yang dalam penghakiman bertentangannya berkata dia cenderung untuk memberikan Najib pembebasan.

Ahli panel lain tidak bersetuju, menyebabkan keputusan majoriti 4 berbanding 1 untuk menolak permohonan semakan bekas perdana menteri itu.

Anggota lain yang menganggotai panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Keputusan semakan itu selaras dengan keputusan pada 23 Ogos tahun lepas oleh panel mahkamah persekutuan berlainan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekalkan keputusan bersalah Najib serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah itu.


Selain mereka, seorang hakim Mahkamah Tinggi dan tiga hakim Mahkamah Rayuan juga telah pun membuat keputusan bahawa  bekas perdana menteri itu bersalah.

Mengulas lanjut Asyraf berkata permohonan pengampunan penuh ke atas Najib itu dibuat selepas MKT Umno mengambil maklum mengenai rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli Umno.

"MKT mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan yang amat sangat ahli-ahli Umno di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak," kata Asyraf lagi.

MKT Umno hari ini bermesyuarat di ibu pejabat parti dipengerusikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.


Pada 3 Apr lalu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya akan menggunakan penghakiman bertentangan oleh Abdul Rahman dalam permohonan petisyen pengampunan Dirajanya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Muhammad Shafee berkata, pasukan pembelaan akan menggunakan penghakiman bertentangan oleh hakim itu dengan menyatakan anak guamnya tidak diberi perbicaraan yang adil.

Najib juga mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai - iaitu perbicaraan rasuah 1MDB, membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International berasingan melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM6.6 bilion.

Walau bagaimanapun, satu-satu kes yang dimenangi bekas perdana menteri itu ialah dia telah diberikan pembebasan penuh dalam kes pinda laporan audit 1MDB. Namun, pihak pendakwaan telah merayu kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan tersebut. − Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram