Najib punyai hak mohon pengampunan diraja – Ramasamy



KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk memohon pengampunan diraja.

Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata, beliau sendiri tidak mempunyai masalah sekiranya Najib berbuat demikian.

Ramasamy turut menegaskan, peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam proses pengampunan itu juga tidak menimbulkan sebarang persoalan.

“Najib mempunyai semua hak untuk memohon pengampunan daripada raja. Saya tidak mempunyai masalah dengan ini.


“Soal Anwar mempengaruhi raja sama ada dalam pengampunan Najib atau tidak bukanlah isu buat masa ini.

“Seperti yang saya dan beberapa orang lain katakan, Anwar mungkin mempunyai peranan kecil atau tiada peranan langsung dalam soal pengampunan Najib. Ia adalah hak prerogatif tunggal Agong,” tegas Ramasamy.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkaitan isu tersebut.

Ramasamy berkata, Ahli Parlimen PKR itu hanya melahirkan kebimbangan terhadap kesan permohonan pengampunan Najib kepada Kerajaan Perpaduan.


“Saya tidak nampak percanggahan atau sikap dwistandard Hassan dalam menyatakan kebimbangannya berkenan pengampunan diraja kepada Najib.

“Beliau khuatir pengampunan sedemikian mungkin memberi kesan buruk kepada pilihan raya negeri yang akan datang.

“Ia hanya sekadar kebimbangan dan bukan seperti Hassan menentang pengampunan diraja Najib sendiri,” kata Ramasamy.

Tambah beliau, kebimbangan yang diutarakan oleh Hassan tidak ada kaitan dengan sokongan awal beliau terhadap kerajaan perpaduan.


“Saya tidak fikir Hassan menentang kerajaan perpaduan kerana kehadiran UMNO dalam barisan kerajaan. Saya mengenali Hassan lebih daripada 40 tahun.

“Beliau seorang yang berprinsip, aktivis politik yang berdedikasi dan yang paling penting adalah sebahagian daripada gerakan reformis Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau hanya mengutarakan kebimbangan berkenaan hala tuju politik kerajaan perpaduan, dengan PH sebagai penerajunya,” katanya.

Semalam media melaporkan, Mohd Puad berkata, sepatutnya Hassan dari awal membantah penubuhan kerajaan perpaduan melibatkan Barisan Nasional.


“Hassan tidak boleh ‘double standard’ (berat sebelah). Bila Anwar dapat pengampunan diraja apakah ia malapetaka pada kerajaan memerintah ketika itu?

“Kalau Zahid dan Najib jadi isu sepatutnya dari awal lagi Hassan membantah penubuhan kerajaan perpaduan melibatkan BN,” katanya di Facebook.

Sebelum itu Hassan mengeluarkan kenyataan mengingatkan Perdana Menteri bahawa imej baik kerajaan perpaduan akan tercalar dan tercemar dengan isu pengampunan Najib dan penangguhan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Katanya, kedua-dua senario itu akan menjadi ‘malapetaka’ kepada kerajaan pimpinan Anwar. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram