Surat Idris Haron sain tukar hak milik tanah laut tular, Nor Azman berlepas diri, dakwa tak tahu menahu



MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan menegaskan tidak mengetahui kewujudan surat pertukaran status hak milik tanah laut yang ditambak untuk pembangunan Melaka Gateway.

Menurut beliau, surat berkenaan yang tular sejak semalam tidak pernah dibawa ke Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) yang dipengerusikan oleh bekas ADUN Duyong, Damian Yeo Shen Li.

Katanya, dia sendiri berada dalam jawatankuasa berkenaan dan ketika itu kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).


“Surat ini di luar pengetahuan saya kerana tidak pernah dibawa dalam MELCAT. Ketika itu perbincangan menjurus kepada ketidaksepadanan jumlah bayaran yang dibuat Kerajaan Persekutuan terhadap kubik pasir laut.

“Datuk Seri Idris Haron selaku Ketua Menteri ketika itu telah dipanggil bagi menjawab perkara ini. MELCAT juga mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menyiasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu, Nor Azman dan Idris menyatakan kesediaan mereka untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembolotan projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut.


Bagaimanapun, sejak semalam tular surat rasmi Kerajaan Negeri Melaka bertarikh 23 Mac 2014 yang ditandatangani Idris kepada Pengarah Urusan KAJ Development Sdn. Bhd., Datuk Michelle Ong berhubung tindakan kerajaan negeri menukar status hak milik tanah laut yang ditambak.

Menurut surat tersebut, status hak milik tanah seluas 609 ekar ditukar daripada 99 tahun kepada status pegangan bebas sebagaimana mengikut Kanun Tanah Negara 1965 dan kelulusan Majlis Tanah Negara. – Utusan




 ARTIKEL BERKAITAN:
 
Join our Telegram Channel
Telegram