Mohamad Ali cabar Idris Haron berentap PRN Melaka



MELAKA: “Kalau awak orang gentleman, mari turun ke bawah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Saya cabar kita bertanding di mana sahaja,” cabar Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron. 

Mohamad Ali berkata, beliau bersedia bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk kerusi disandang Idris iaitu Sungai Udang.

“Saya cabar Idris untuk buktikan sejauh mana rakyat di negeri ini akan menentukan siapa yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini.


“Beliau tak perlu lagi cerita keaiban mana-mana pihak. Ini cerita kita, ini negeri kita yang sudah diisytiharkan pembubaran DUN dan mari kita berdepan hadapi PRN.

“Biarlah beliau bawa ‘rakan karib’ iaitu DAP, saya nak tengok apa manifesto yang boleh yakinkan rakyat di negeri ini,” katanya ketika sidang akhbar di kediamannya di Baitul Tariq, Klebang Permai di sini.

Tegas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu lagi, akar umbi tidak lagi menyokong Idris, begitu juga dengan seorang lagi ‘pengkhianat’ iaitu ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.


Jelasnya, kubu kuat dua wakil rakyat berkenaan iaitu di Kampung Tanah Merah Jaya dan Klebang Kecil telah menyatakan sokongan tanpa berbelah bagi terhadap UMNO.

Mohamad Ali menambah, seluruh jentera parti di bahagian itu, cukup bersedia untuk memastikan kedua-dua mereka tewas dalam PRN nanti.

“Silakan Idris dan Nor Azman jika kamu nak bersekongkol dengan DAP, jika kamu nak mengkhianati UMNO silakan. kita di peringkat akar umbi akan tentang mereka berdua,” ujarnya. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram