PAS mahu hudud cuma ada kekangan perlembagaan – Hadi



PAS kini berpendapat agenda hudud yang menjadi perjuangan mereka sejak sekian lama kini tersekat kerana kekangan Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya Abdul Hadi Awang juga mendakwa usaha mereka itu sukar kerana tidak mendapat sokongan daripada parti politik lain.

Kata Abdul Hadi walaupun PAS kini berada dalam kerajaan pusat pelaksanaan hudud memerlukan pindaan perlembagaan dan ia hanya boleh berlaku apabila rang undang-undang mengenai mendapat sokongan dua per tiga daripada ahli Dewan Rakyat.

"Apa yang menjadi halangan kita kita sekarang kerana memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan majoriti dua per tiga.


"Jika ahli parlimen PAS dan Umno sahaja mengundi tidak cukup. Malah, tidak semua ahli parlimen menyokongnya, apatah lagi wakil rakyat PH," dakwanya seperti dilaporkan dalam wawancara Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang berkata demikian ketika ditanya adakah PAS masih memperjuangkan hukum hudud dan nasib pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali sebagai Akta 355.

PAS sejak berdekad-dekad silam sering membawa agenda pelaksanaan hudud dalam politik mereka. Malah menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu parti itu diberikan ruang untuk membawa usul rang undang-undang atas kapasiti peribadi - melalui Abdul Hadi - bagi meminda Akta 355.

Abdul Hadi membentangkan usul pindaan akta tersebut - juga lebih dikenali sebagai RUU 355 di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian.


Bagaimanapun usul itu hanya dibentangkan namun tidak dibahaskan sehingga ke hari ini.

Baru-baru ini dua pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) mengesahkan PAS tidak lagi bersuara mengenai agenda hudud selepas menjadi kerajaan.

Mereka ialah Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Kata Abdul Hadi, sebelum ini PAS sudah berjaya meluluskan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu dengan hudud adalah sebahagian kecil daripadanya.

"Enakmen berkenaan juga sudah diwartakan dan mendapat perkenan Sultan Kelantan dan Terengganu," katanya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram