PDRM rujuk siasatan kes suami Zeti ke Peguam Negara



KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merujuk siasatan kes membabitkan Datuk Dr. Tawfiq Ayman kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau yang merupakan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebelum ini didakwa menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, ia bagi membolehkan tindakan selanjutnya dari sudut Mutual Legal Assistance(MLA) dapat dilakukan.


“Pasukan penyiasat PDRM telah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura pada 29 hingga 31 Mac lalu.

“Pihak CAD juga telah memberikan kerjasama erat sepanjang perbincangan tersebut diadakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, hasil perbincangan, pasukan penyiasat telah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan.

“Bagaimanapun, bagi memastikan dokumen dan keterangan tersebut boleh diterima di mahkamah, ia perlu melalui proses MLA yang akan dikendalikan Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.

Kosmo! pada 24 Mac lalu melaporkan, PDRM akan ke Singapura bagi merakam keterangan beberapa saksi kes suami kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Dr. Tawfiq Ayman.


Dalam pada itu, Tawfiq menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co mendakwa tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Beliau turut menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.

Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram