Najib kemuka permohonan gugur ketua hakim negara



Najib Razak membuat permohonan agar Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada panel Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuannya.

Peguam utama Hisyam Teh memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memfailkan permohonan itu pada malam Isnin.

Beliau menambah salinan permohonan itu telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.


Bekas perdana menteri itu membuat rayuan atas sabitan oleh hakim perbicaraan Nazlan Ghazali bagi semua tujuh pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Ia membabitkan kesalahan salah guna kuasa, penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International, dimana beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dua tahun lalu.

Ketua hakim negara mengetuai panel lima hakim mahkamah tertinggi yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim mahkamah tertinggi Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.


Najib dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Nazlan pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Dis 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukumannya. Hakim lain yang bersidang ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Peguam V Sithambaram, melakukan pendakwaan menerusi lesen khas diberikan oleh peguam negara, dan dibantu oleh Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei dan Mohd Ashrof Adrin Kamil. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram